Balqis Jazimah Zahari


HARGA barangan keperluan harian didapati tidak menentu menyebabkan kebanyakan peniaga di Pasar Besar Ipoh mendakwa menanggung kerugian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Harian Metro mendapati harga sayur-sayuran naik, manakala harga barangan basah pula berlaku penurunan.

Peniaga sayur, Mazidah Baai, 59, berkata harga barangan tidak menentu kerana bergantung harga yang diperolehi daripada pemborong.

“Harga memang turun naik, terutama bawang kerana kebiasaannya mak cik hanya menjual bawang sekurang-kurang RM9 bagi setiap kilogram tetapi sekarang mencecah RM12 sekilogram.

“Manakala bagi sayur-sayuran pula kebanyakannya naik harga, contohnya sawi menjadi RM3 sekilogram dan daun bawang pula mencecah RM12 sekilogram,” katanya yang sudah berniaga selama kira-kira 20 tahun.

Peniaga ikan yang mahu dikenali sebagai Ah Meng, 49, berkata dia terpaksa menjual ikan pada harga rendah berikutan menerima stok begitu banyak daripada pembekal.

“Harga ikan selar kebiasaannya dijual dalam RM7 hingga RM8 sekilogram, tetapi menurun kepada hanya RM5.

“Manakala, harga ikan sardin yang kebiasaannya dijual RM6 sekilogram juga dijual hanya RM4 sahaja,” katanya.

Peniaga ikan, Jasni Abd Jamal, 52, pula berkata, barangan basah yang dijualnya mengikut harga pasaran dan tidak berubah kerana mengambil bekalan secara terus tanpa melalui pemborong.

Menurutnya, dia mengambil bekalan hasil laut di Pantai Remis sekali gus perlu menanggung kos pengangkutan berikutan jarak agak jauh.

“Kebiasaannya saya menambah bekalan sehingga 300 kilogram, tetapi hendak laku 100 kilogram pun susah menyebabkan terpaksa menjual secara atas talian selepas berniaga di pasar,” katanya.

Antara peniaga yang berniaga di Pasar Besar Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Antara peniaga yang berniaga di Pasar Besar Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 12:10 PM