KUALA LUMPUR 22 OKTOBER 2021. Residensi Wilayah Desa Satumas di Taman Desa. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 22 OKTOBER 2021. Residensi Wilayah Desa Satumas di Taman Desa. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 60,577 unit atau 76 peratus membabitkan 89 projek Residensi Wilayah (RW) sudah diluluskan bagi memenuhi keperluan masyarakat Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, angka setakat 31 Januari lalu itu termasuk dalam sasaran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi membina 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 hingga 2028.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 19,963 unit membabitkan 35 projek sudah siap, 26,571 unit daripada 30 projek sedang dalam pembinaan dan 14,043 unit merangkumi 24 projek mendapat Perintah Pembangunan (DO).

"Sebanyak 56,889 unit dibina di Kuala Lumpur, 2,908 unit dibina di Putrajaya dan 780 unit di Labuan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari, semalam.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pencapaian terkini projek Residensi Wilayah dahulunya Rumawip.

Sementara itu, menjawab soalan kedua dikemukakan Zahir berhubung isu pembeli rumah Residensi Hektar di Wangsa Maju yang membayar ansuran pinjaman penuh walaupun projek masih belum siap, Azalina berkata, perkara itu berdasarkan syarat perjanjian pembeli dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Katanya, pembangunan Residensi Hektar di kawasan Parlimen Wangsa Maju sebagai Residensi Wilayah dibina di atas tanah Rizab Melayu membabitkan 2400 unit.

"Seramai 467 pembeli menggunakan pembiayaan LPPSA atau 19.46 peratus daripada jumlah keseluruhan unit Residensi Hektar, manakala pembeli lain menggunakan pelbagai kaedah pembiayaan lain.

"Dalam hal ini, mana-mana kelulusan pembiayaan LPPSA yang diperoleh sebelum tahun 2022, pembiayaan jenis tiga (rumah dalam pembinaan) bagi rumah bertingkat termasuk RW, bayaran balik bulanan bermula selepas bayaran kemajuan (pembinaan) 95 peratus dikeluarkan atau pada bulan ke-25 daripada tarikh kelulusan yang mana terdahulu.

"Manakala bagi kelulusan pembiayaan LPPSA yang diperoleh pada tahun 2022, Garis Panduan Pembiayaan Perumahan LPPSA Bil/1/2022 menetapkan, pembiayaan jenis tiga (rumah dalam pembinaan) bagi rumah bertingkat termasuk RW, bayaran balik bulanan bermula selepas bayaran kemajuan 95 peratus dikeluarkan atau pada bulan ke-37 daripada tarikh kelulusan yang mana terdahulu," katanya.

Katanya, JWP dimaklumkan pihak LPPSA bahawa 467 peminjam LPPSA (100 peratus) bagi Projek Residensi Hektar sudah mula membayar ansuran bulanan seperti dalam perjanjian antara pembeli dan LPPSA.

"Pada ketika ini, pihak LPPSA menawarkan bantuan dalam bentuk penjadualan atau penyusunan semula ansuran bulanan yang lebih rendah bagi tempoh maksimum 24 bulan tertakluk kepada kelulusan pihak Lembaga serta pengesahan kesiapan terkini daripada pemaju bagi projek perumahan yang disahkan Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai projek sakit.

"Bagaimanapun, bagi membantu pembeli yang menghadapi masalah pembayaran pembiayaan perumahan ini, JWP sudah mengadakan sesi libat urus bersama LPPSA dan mengesyorkan beberapa kaedah untuk penangguhan atau penstrukturan semula bayaran pembiayaan perumahan ini tertakluk kepada kelulusan LPPSA agensi di bawah Kementerian Kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 10:33 AM