Omar Ahmad


LEBIH 700 pembeli projek perumahan Residensi Tebrau, Johor Bahru kecewa kerana kelewatan projek berkenaan siap mengikut tempoh ditetapkan.

Pekerja Swasta, Hasni Mohni, 38, berkata projek perumahan jenis pangsapuri itu mula dibina sejak 2016 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Januari 2020.

Dia mendakwa menerima emel daripada Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyatakan projek Residensi Tebrau sudah siap sebanyak 94 peratus dan 60 peratus unit berjaya dijual.

"PR1MA menghantar emel kepada pembeli sebanyak dua kali memaklumkan penundaan tarikh projek berkenaan dijangka akan siap iaitu pada Jun dan Oktober depan.

"Sehingga kini, masih terdapat kerja pembinaan dijalankan, namun berdasarkan jumlah tenaga kerja dilihat minimum, mustahil projek itu dapat disiapkan dalam tempoh masa terdekat.

"Saya sudah membayar jadual bayaran berperingkat sejak dua tahun lalu dengan bayaran RM700 sebulan. Saya ada komitmen lain seperti rumah sewa, ansuran kereta dan keperluan keluarga," katanya ketika ditemui di tapak perumahan itu, hari ini.

Sementara itu, pembeli yang juga guru, Nur Hamizah Wahit, 31, berkata dia sudah membayar ansuran penuh bulanan rumah terbabit sebanyak RM1,500.

Katanya, dia kesal dengan kelambatan projek perumahan itu sehingga menyebabkan arwah bapanya tidak sempat melihat dia berpindah ke rumah berkenaan.

"Saya dapat cabutan undi rumah ini pada 2016, sebenarnya bapa bersungguh-sungguh mahukan saya membeli rumah itu, tetapi rasa sangat ralat sebab sehingga ayah telah meninggal dunia akibat sakit tua dua tahun lalu, rumah ini masih tidak siap.

"Rumah ini saya mohon sejak bujang sampai sekarang sudah mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun, masalah lambat siap berterusan.

"Saya sudah bayar ansuran bulanan RM1,500 selama setahun dan berharap rumah ini disiapkan secepat mungkin kerana saya sangat terbeban membayar dua rumah termasuk rumah sewa," katanya.

Projek berkenaan yang terletak di Jalan Tebrau bersebelahan dengan Kampung Dato' Sulaiman Menteri, Johor Bahru mempunyai lima blok dengan 1,284 unit rumah setinggi 26 tingkat dan berharga kira-kira RM150,000 sehingga lebih RM300,000.

SEBAHAGIAN pembeli rumah PRIMA Residensi Tebrau meminta pihak PRIMA menyiapkan kediaman mereka tepat pada janji. FOTO Omar Ahmad
SEBAHAGIAN pembeli rumah PRIMA Residensi Tebrau meminta pihak PRIMA menyiapkan kediaman mereka tepat pada janji. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 2:51 PM