Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sebanyak 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia membabitkan 104 projek bakal dibina di Wilayah Persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 97 projek di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan.

"Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut memperkenalkan program baharu iaitu rumah untuk disewa sebagai transit yang dikenali sebagai Council Home.

"Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri," katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Perdana Menteri berkata, KWP menyasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit Council Home dalam tempoh lima tahun antara tahun ini hingga 2027.

"Sehingga April tahun ini, sebanyak 10 tapak sudah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang, Segambut berjumlah 1,251 unit.

"Kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah," katanya.

Katanya, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) menggariskan langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat itu.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga memperkenalkan program Home Ownership Programme (atau HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Residensi SkyAwani 3 dibina di tanah berkeluasan 1.8 hektar dan menawarkan tiga blok bangunan setinggi 52 tingkat yang menempatkan 1,905 unit kediaman pada harga RM300,000 seunit.

Residensi SkyAwani 3 mempunyai SkyBridge yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 4:43 PM
PERDANA Menteri beramah mesra dengan penerima kunci di Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. FOTO Eizairi Shamsudin
PERDANA Menteri beramah mesra dengan penerima kunci di Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. FOTO Eizairi Shamsudin