PENJAWAT awam yang membeli projek perumahan bawah KPKT yang lewat siap kini lega diberikan moratorium. - Gambar hiasan
PENJAWAT awam yang membeli projek perumahan bawah KPKT yang lewat siap kini lega diberikan moratorium. - Gambar hiasan

Seramai 4,000 peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang menghadapi masalah projek 'sakit' bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini menarik nafas lega apabila diberikan moratorium oleh Kementerian Kewangan.

Perkara itu diumumkan sendiri Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas menyerahkan kunci kepada 10 pembeli rumah PR1MA di Residensi Pulau Sebang, Melaka, baru-baru ini.

Reezal berkata, moratorium itu diluluskan selepas beliau berjumpa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi memohon kelonggaran berkenaan.

SEBANYAK 22 projek perumahan PR1MA di Semenanjung dan Sabah yang dikategorikan sebagai projek sakit dan lewat. - Gambar hiasan
SEBANYAK 22 projek perumahan PR1MA di Semenanjung dan Sabah yang dikategorikan sebagai projek sakit dan lewat. - Gambar hiasan

Selama ini, peminjam terbabit terpaksa membayar balik pinjaman perumahan bawah KPKT seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), sedangkan projek itu gagal disiapkan mengikut jadual.

"Saya berjumpa sendiri Menteri Kewangan untuk membawa suara penjawat awam yang membeli projek perumahan bawah KPKT yang lewat siap seperti PR1MA, SPNB dan PPAM supaya diberikan moratorium.

"Menteri Kewangan dan LPPSA sudah meluluskannya dan penjawat awam hanya perlu memaklumkan kepada LPPSA supaya LPPSA menstruktur semula potongan gaji," katanya.

Menurut Reezal lagi, pembiayaan menerusi LPPSA itu tidak seperti bank atau institusi kewangan biasa yang mana pemotongan pembayaran bermula hanya selepas pembeli mendapat kunci daripada pemaju.

"Bagaimanapun, bagi pembiayaan LPPSA sama ada projek siap atau tidak, pemotongan pembiayaan semula tetap bermula selepas 24 bulan bagi rumah bawah dan 36 hingga 60 bulan bagi rumah jenis strata.

"Mengenai proses dan maklumat lengkap berkaitan penangguhan itu, ia akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

PEMBELI menunggu projek perumahan mereka yang terbengkalai siap. - Gambar hiasan
PEMBELI menunggu projek perumahan mereka yang terbengkalai siap. - Gambar hiasan

Dalam pada itu, Reezal berkata, kerajaan tidak pernah berdiam diri dalam menyelesaikan 22 projek perumahan PR1MA di Semenanjung dan Sabah yang dikategorikan sebagai projek 'sakit' dan lewat.

Katanya, sebanyak 18 projek yang dikategorikan projek 'sakit' membabitkan pembinaan di Semenanjung dan tiga lagi di Sabah.

"Manakala satu lagi adalah projek lewat di Semenanjung dan antara sebab projek 'sakit' itu berlaku kerana tempoh 'down time' selama 276 hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kontraktor tidak dapat masuk ke tapak pembinaan," katanya.

Beliau berkata, antara usaha kerajaan termasuk mencari penyelesaian yang lebih realistik dan proaktif terutama membabitkan pembayaran serta pemilihan kontraktor.

Katanya, setakat ini PR1MA sudah mengenal pasti dan membatalkan projek kontraktor yang gagal melaksanakan projek, melantik kontraktor penyelamat serta menggunakan kontraktor tempatan.

"Pemantauan kerja yang dilakukan kontraktor penyelamat juga dilakukan sehingga siap kerana jika membabitkan kelewatan, pastinya lebih merugikan dan kos juga meningkat," katanya.

PR1MA mampu mengekalkan harga jualan rumah bawah RM300,000 seunit meskipun kos bahan binaan meningkat.
PR1MA mampu mengekalkan harga jualan rumah bawah RM300,000 seunit meskipun kos bahan binaan meningkat.

Sementara itu, Reezal berkata, PR1MA mampu mengekalkan harga jualan rumah bawah RM300,000 seunit meskipun kos bahan binaan meningkat.

Ini kerana kata beliau, pihak terbabit memiliki bank tanah yang mencukupi untuk pembinaan perumahan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan kos bahan binaan, terutama besi memberikan kesan kepada projek perumahan PR1MA, tetapi kerajaan tidak akan menaikkan harga perumahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 8:51 AM