Pengunjung cilik bergambar kenangan bersama pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah ketika Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - FOTO PETRONAS MOTORSPORTS.
Pengunjung cilik bergambar kenangan bersama pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah ketika Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - FOTO PETRONAS MOTORSPORTS.
Muhamad Shaifullah Tayep

Jempol: Jenama minyak dan gas (O&G), Petroliam Nasional Bhd (Petronas) cukup sinonim dengan Kejuaraan Cub Prix yang menjadi platform untuk pelumba muda dan baharu mengembangkan kemahiran serta bakat mereka.

Sudah menaja perlumbaan itu sejak 2003 sehingga kini, Petronas meraikan penajaan gelaran mereka selama 20 tahun ketika perlumbaan di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 11 hingga 12 Mac lalu.

Membawa tema 20 Tahun Melakar Impian, kejohanan yang diadakan buat kali kesembilan sejak pertama kali dilangsungkan di sini pada 2013 itu diraikan selepas kerjasama dan komitmen yang sudah lama terjalin banyak memberi pembangunan dalam sukan permotoran negara ini.

Antaranya, Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix diiktiraf sebagai sokongan untuk membina negara kerana acara itu menyediakan platform untuk pelumba muda mempamerkan kemahiran mereka dan mengembangkan bakat dalam sukan itu.

Ramai pelumba muda berjaya melakar nama seperti Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Hafizh Syahrin Abdullah, Zulfahmi Khairuddin, Azlan Shah Kamaruzaman, Khairul Idham Pawi, Zaqhwan Zaidi, Kasma Daniel Kasmayudin dan ramai lagi tidak mungkin akan lahir tanpa sokongan daripada pihak Petronas.

Sokongan berterusan Petronas inilah yang memastikan siri kejuaraan terulung tanah air ni dapat terus menjelajah ke seluruh pelusuk negara terus kepada peminat-peminat sukan permotoran di kawasan luar bandar seperti Jempol.

Secara tidak langsung, ia juga dapat mendekatkan sukan ini dengan masyarakat setempat sekali gus mendedahkan mereka dengan perlumbaan secara profesional.

Cub Prix turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan perpaduan dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia juga berjaya menarik peminat tempatan serta sekitarnya dan secara tidak langsung meningkatkan serta menaikkan sosioekonomi negeri tuan rumah.

Kasma Daniel Kasmayuddin bersama trofi kemenangannya pada Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix di Dataran Seri Jempol. – FOTO PETRONAS Motorsports

Pusingan kedua Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix di Dataran Seri Jempol menyaksikan Kasma Daniel Kasmayuddin melakar kemenangan pertamanya untuk pasukannya Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor di kategori CP150.

Kasma Daniel mencatatkan masa terpantas pada 43'948s, manakala Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mencatatkan masa 44'135s diikuti oleh Md Haziq Md Fairues dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 44'177s di sesi 'Superpole'.

Kasma mengakui, cuaca panas dan jentera yang kurang 'power', selain bermula lambat serta agak ketinggalan banyak mempengaruhi prestasinya ketika itu.

"Pada masa itu, saya cuba memintas dan mempertahankan "racing line". Akid dan Azroy juga, 50-50 tadi dan dari segi jentera pun agak berbeza.

"Akid mempunyai kelebihan dalam "top speed" maka saya hanya cuba kekalkan momentum dan fokus kepada "cornering-to-cornering"," katanya.

Katanya, cuaca pada ketika itu memang panas dan menjejaskan tayar pelumba.

"Kami hanya cuba "safe-riding" untuk elakkan daripada jatuh dan memang syukur untuk perlumbaan ini," katanya.

Tempat kedua diambil oleh Md Akid Aziz dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14'54:099s.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14'54:892s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 4:32 PM