PENUNGGANG Uma Racing Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz (kiri) meraikan kemenangannya dalam kategori 150cc ketika Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARC) 2017 di Litar Johor, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENUNGGANG Uma Racing Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz (kiri) meraikan kemenangannya dalam kategori 150cc ketika Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARC) 2017 di Litar Johor, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
Fadhli Ishak


PERSETERUAN juara dalam satu pasukan tidak menggusarkan pendatang baharu CP150, Md Akid Aziz untuk menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Lumba Tangkak, Johor hujung minggu ini.

Akid, juara berganda CP115 musim 2016 dan 2017 akan beralih ke kategori CP150 yang mana menyaksikan dia akan bergandingan bersama Kasma Daniel Kasmayuddin dan Mohd Ramdan Rosli buat pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Kasma adalah juara CP150 musim lalu manakala Ramdan pernah memenangi kategori CP115 pada 2010.

“Situasi ini agak mencabar namun pada masa sama amat menarik. Selain bersaing sengit dengan pelumba berpengalaman, kami saling bersaing dalam satu pasukan untuk melakar yang terbaik,” jelas Akid yang juga juara Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017.

Jelas Akid, walaupun bertindak selaku pelumba ‘rookie’, namun dia langsung tidak tertekan kerana sudah biasa mengendalikan jentera 150cc di peringkat Asia.

“Saya rasa ia bukannya satu masalah besar buat saya untuk beraksi menggunakan jentera Yamaha Y15ZR kerana saya pernah beraksi dalam kategori Underbone 150cc di ARRC sebelum ini.

“Cuma jika di Asia, litarnya lebih lebar, jadi saya dapat menggunakan jentera ke tahap maksimum berbanding di litar Cub Prix. Litar yang lebih pendek dan selekoh yang lebih sempit dan amat mencabar.

“Sekalipun di litar saya terpaksa ‘berlawan’ dengan Kasma dan Ramdan, namun di paddock saya akan banyak belajar dan bertanya kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:05 AM