Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Terima kasih untuk peluang yang diberikan dan saya tidak akan mensia-siakannya malah menyemarakkan lagi semangat saya untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)."

Itu luahan Noorakmal Amiruddin Zulkifli, 15, anak sulung kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu.

Sebelum ini, ibunya, Nooraziah Noor, 38,menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya seperti dilaporkan media, semalam.

Susulan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia mempertimbangkan permohonan kemasukan ke institusi pendidikan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan perwira negara berkenaan.

Perkara itu juga dimaklumkan pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang medianya di Ibu Pejabat Mara, di sini, hari ini.

ASYRAF Wajdi (tiga kiri) memberi sumbangan kepada anak dan balu wira negara tragedi Lahad Datu iaitu Nooraziah Noor (kiri), Norakmal (dua kiri), Noor Aqib (dua kanan) dan Noor Muhamad Aqil Zulkifli pada sidang media di Ibu Pejabat MARA. FOTO Hazreen Mohamad
ASYRAF Wajdi (tiga kiri) memberi sumbangan kepada anak dan balu wira negara tragedi Lahad Datu iaitu Nooraziah Noor (kiri), Norakmal (dua kiri), Noor Aqib (dua kanan) dan Noor Muhamad Aqil Zulkifli pada sidang media di Ibu Pejabat MARA. FOTO Hazreen Mohamad

Pada sidang media itu, Noorakmal bersama dua adiknya Noor Muhammad Aqil, 11 dan Noor Aqib Syahid, 10, turut menerima bantuan tunai dan beg sekolah daripada Mara.

Noorakmal berkata, dia berhasrat untuk memasuki MRSM bagi meneruskan pelajaran di tingkatan empat tahun depan.

Menurutnya, dia kini sedang berusaha untuk mencapai hasrat itu seterusnya menjadi seorang anggota polis seperti arwah bapanya yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

"Sepupu saya ramai belajar di MRSM dan itu juga membuatkan saya semangat untuk belajar di sana. Saya berharap dapat mencapai keputusan yang baik sekali gus layak menempatkan diri ke MRSM.

"Saya mahu meneruskan legasi kerjaya arwah ayah sebagai anggota polis dan tidak akan sia-siakan sokongan yang diberikan Mara ini," katanya.

Sementara itu, Nooraziah berkata, dia bersyukur pihak Mara memberi peluang itu kepada tiga anak yang semakin meningkat dewasa, selain turut menerima bantuan lain.

Katanya, ketika ini anaknya perlu memainkan peranan untuk mengambil peluang diberikan itu dengan baik dan belajar bersungguh-sungguh.

"Saya berterima kasih kepada Mara dan saya harap anak menghargai pengorbanan arwah bapa mereka sekali gus mengenang jasa arwah. Saya berharap mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:03 PM