LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sudah mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyemak serta mengambil tindakan segera berhubung sokongan pendidikan yang dijanjikan kepada keluarga pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu.

Pengerusi Mara itu berkata, biarpun peristiwa terbabit berlaku 10 tahun lalu, Mara seharusnya berusaha menyempurnakan harapan dan janji yang dilakukan oleh kepimpinan atau pengurusan waktu itu.

"Saya telah meminta Ketua Pengarah Mara supaya menyemak dan mengambil tindakan segera terhadap keluhan balu tragedi Lahad Datu yang mendakwa agensi seperti Mara pernah menjanjikan untuk membiayai pendidikan tiga anaknya 10 tahun dulu.

"Walaupun peristiwa ini sudah berlalu 10 tahun lalu, Mara harus berusaha menyempurnakan harapan dan janji yang dilakukan oleh kepimpinan atau pengurusan waktu itu," katanya menerusi kenyataan di Facebook, petang tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, isteri kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu, menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya.

Nooraziah Noor, 38 mendakwa sebelum ini, ada pihak, termasuk agensi kerajaan seperti Mara menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.

Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi, beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.

Sementara itu, sumber Mara memaklumkan pihaknya sudah menghubungi balu bagi mengaturkan pertemuan.

"Kita sudah menghubungi balu dan satu pertemuan antara kita dan balu dijangka berlangsung esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 11:04 PM