SAIFUDDIN Nasution Ismail melancarkan buku Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0). FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution Ismail melancarkan buku Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0). FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa berpegang kepada janji untuk membantu balu dan anak Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam tragedi berdarah Lahad Datu sedekad lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertemuan juga sudah diadakan bersama balu Allahyarham, Nooraziah Noor, 38, serta tiga anaknya, baru-baru ini.

"Saya bercakap sendiri dengan isterinya (balu Allahyarham), saya jumpa sendiri anak-anaknya... kita telah minta ibu berkenaan memberikan semua dokumen tentang anak-anaknya. Saya sendiri akan memaklumkan nanti dengan Pengerusi MARA (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki).

"Sebenarnya dalam bilik itu (ketika pertemuan) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pun ada (turut berkenan bertemu)... ibu berkenaan minta diberikan dokumen kepada Setiausaha ke Bawah Duli Tuanku," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Saifuddin turut menegaskan, komitmen KDN tidak perlu dipertikai sama sekali dalam memastikan anak Allahyarham mendapat peluang pendidikan yang terbaik.

"Komitmen kita untuk membantu tidak boleh dipertikai sama sekali, saya bertanggungjawab berkongsi hal sebenar berlaku, yang dibangkit ibu... dahulunya ada janji sehingga baru ini pihak polis bertemu beliau dan anak-anaknya.

"Ke Bawah Duli Tuanku dan saya... kita akan memudahkan segera, sesuai dengan kelayakan anak-anaknya mendapat peluang pendidikan terbaik," katanya.

Semalam, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu sidang media memaklumkan agensi itu akan membantu ketiga-tiga anak Allahyarham untuk mendapatkan pendidikan di institusi pendidikan di bawah Mara.

Beliau berkata, Ketua Pengarah MARA sudah diminta supaya menyemak dan mengambil tindakan segera terhadap keluhan balu tragedi Lahad Datu yang mendakwa agensi seperti MARA pernah menjanjikan untuk membiayai pendidikan tiga anaknya 10 tahun dulu.

Terdahulu isteri kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, pegawai polis yang menjadi korban tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih sedekad lalu, menagih sokongan pendidikan yang dijanjikan untuk tiga anaknya.

Nooraziah mendakwa sebelum ini, ada pihak, termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga ke pengajian tinggi kepada anaknya, namun ia tidak ditunaikan biarpun tragedi itu sudah hampir 10 tahun berlalu.

Katanya, meskipun kehidupan mereka sekeluarga mencukupi, beliau masih mengharapkan janji tajaan pendidikan yang disuarakan oleh pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 3:33 PM