Aizat Sharif

Kangar: Pasangan suami isteri yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak, di sini, yang ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang penghuni dibebaskan dengan jaminan polis.

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu sudah dibebaskan minggu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, setakat ini kes masih dalam siasatan namun rumah kebajikan itu sudah dikosongkan dengan penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekitar Perlis.

"Kita boleh sahkan kedua-dua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan," katanya selepas menghadiri Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-216 Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Perlis di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

SURINA (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang cemerlang dalam tugasan. FOTO Aizat Sharif
SURINA (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota polis yang cemerlang dalam tugasan. FOTO Aizat Sharif

Katanya, siasatan dibuka berhubung pelanggaran syarat premis dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana amang seksual.

Pada 16 Mac lalu, Harian Metro melaporkan pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan penghuni rumah kebajikan.

Difahamkan, kejadian berlaku di rumah pasangan itu di Jejawi, Arau.

Mangsa berusia 20 tahun serta berada di bawah perintah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

Kejadian dilaporkan oleh mangsa yang tampil membuat laporan polis awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 1:34 PM