GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


SUAMI isteri adalah suspek terbaharu yang ditahan berhubung kes pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan pada 5 Mei lalu di Arau, Perlis.

Difahamkan suspek berusia 57 dan 55 tahun itu ditahan di kediaman mereka di Ipoh, Perak bersama seorang lagi bayi lelaki berusia lapan bulan disyaki turut menjadi mangsa penjualan bayi oleh ejen sama kes berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, beliau mengesahkan tangkapan terbabit dan tidak menolak kemungkinan jumlah tangkapan bakal meningkat dari semasa ke semasa.

"Saya tidak boleh bagi apa-apa komen kerana ia masih dalam siasatan pihak polis, tetapi saya boleh katakan ada tangkapan lain yang bakal dilakukan.

"Saya juga boleh katakan kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Sementara itu, pasangan berkenaan direman lima hari bermula hari ini.

Sehingga hari ini, seramai sembilan orang sudah ditahan polis Perlis termasuk buruh wanita berusia 30 tahun yang juga ibu bayi berkenaan bersama tiga individu yang bertindak sebagai ejen atau orang tengah.

Turut ditahan adalah pakar kesihatan sakit puan dan dua pasangan suami isteri yang berasal dari Ipoh, Perak dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 3:08 PM