Aizat Sharif

Kangar: Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman empat hari sehingga 5 Jun hadapan bagi membantu siasatan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai Ketua Polis Perlis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Asisten Komisioner Wari Kiew berkata, suspek warga Myanmar berusia 22 tahun itu ditahan di Chemor, Perak semalam.

"Manakala seorang lagi lelaki berusia 24 tahun dan bekerja sebagai nelayan ditahan di Tanjung Karang, Selangor awal hari ini.

"Suspek warga Myanmar itu dipercayai adalah pemilik nombor telefon bimbit yang digunakan sindiket penipuan ini dengan menggunakan nama 'Surina Aisyah' dan gambar profil Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, seorang lagi suspek pula adalah pemilik akaun bank yang digunakan sindiket bagi pemindahan wang sebanyak RM7,000 daripada seorang mangsa sebelum ini.

"Kita bagaimanapun masih menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit menjual nombor telefon serta akaun bank mereka kepada sindiket penipuan dalam talian.

"Namun begitu, berdasarkan siasatan awal kita mendapati akaun bank berkenaan digunakan oleh sindiket dalam beberapa kes penipuan termasuk membabitkan jenayah komersil.

"Malah, kita percaya sindiket ini dianggotai lebih daripada tiga orang di mana kita sedang memburu dalang sindiket berkenaan," katanya.

Suspek warga tempatan (kemeja-T hitam) dibawa keluar  anggota polis dari Mahkamah Kangar kerana disyaki terbabit dengan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai Ketua Polis Perlis. FOTO AIZAT SHARIF
Suspek warga tempatan (kemeja-T hitam) dibawa keluar anggota polis dari Mahkamah Kangar kerana disyaki terbabit dengan penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai Ketua Polis Perlis. FOTO AIZAT SHARIF

Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada laporan polis dibuat oleh mangsa wanita yang didakwa melakukan pemindahan wang sebanyak RM7,000 kepada sindiket berkenaan sehingga kini dan menasihatkan mangsa untuk segera tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Awal minggu ini, seorang wanita mendakwa menerima panggilan daripada seorang 'polis' yang mengatakan bahawa dirinya terbabit dengan kes jenayah dadah dan penggubahan wang haram.

Mangsa yang ketakutan kemudian disambungkan kepada seorang anggota 'polis' bernama 'Surina Aisyah' yang meminta agar mangsa memindahkan wang sebanyak RM7,000 sebagai cara untuk mengelakkan daripada ditahan polis.

Malah, gambar daripada talian nombor telefon bimbit yang menghubungi mangsa itu didapati menggunakan gambar profil Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.

Rentetan daripada itu satu laporan polis dibuat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis berkenaan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 6:42 PM