GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Aizat Sharif


Arau: Pasangan suami isteri yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Arau di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Sumber berkata, kedua-duanya yang berusia 50-an direman sejak minggu lalu.

"Difahamkan, kejadian berlaku di rumah pasangan itu di Jejawi, Arau. Mangsa berusia 20 tahun serta masih berada di bawah perintah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis.

"Kejadian dilaporkan oleh mangsa yang tampil membuat laporan polis awal bulan ini. Tidak dapat dipastikan sama ada perlakuan seksual itu sudah berlaku sejak sekian lama ketika mangsa masih berada di bawah usia ketika itu atau sebaliknya," katanya.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana amang seksual.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, tinjauan di rumah kebajikan berkenaan pula mendapati, penghuni rumah itu sudah dipindahkan ke beberapa kemudahan rumah perlindungan kanak-kanak JKM negeri ini.

Pengarah JKM Negeri Perlis Ku Chik Ku Mat Esa ketika ditanya bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:51 PM