PASANGAN suami isteri yang juga penjaga sebuah rumah kebajikan di Perlis sedang menunggu giliran kes mereka dipanggil di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Aizat Sharif
PASANGAN suami isteri yang juga penjaga sebuah rumah kebajikan di Perlis sedang menunggu giliran kes mereka dipanggil di Mahkamah Sesyen Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Kangar: Pasangan suami isteri yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah rumah di Arau pada 2021.

Tertuduh lelaki yang berusia 55 manakala isterinya yang berusia 53 tahun serta kedua-duanya berasal dari Kangar hanya mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh lelaki sebagai seorang penjaga dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Jejawi, Arau pada 21 September 2021.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, isteri tertuduh didapati bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan yang membabitkan kontak fizikal tanpa persetubuhan dengan remaja perempuan sama seperti pertuduhan pertama di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang boleh di penjara tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua pula, isteri tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 16 akta sama yang mana jika sabit kesalahan wanita itu boleh dipenjara tidak lebih daripada 20 tahun serta sebatan.

Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 pula memperuntukkan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada dua sebatan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam Pyara Singh.

Pyara dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan pertimbangan jaminan kepada kedua-dua tertuduh disebabkan mereka sebelum ini menyediakan perlindungan untuk menjaga kanak-kanak yang tiada tempat tinggal di Perlis.

Selain itu, pasangan suami isteri itu juga menanggung lima anak.

Musyiri kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang serta melapor diri di balai polis berdekatan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan menghampiri mana-mana saksi yang mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Mahkamah menetapkan 13 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, sepasang suami isteri yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang daripada penghuni rumah berkenaan.

Kejadian menyebabkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis mengarahkan penutupan rumah kebajikan itu manakala penghuninya yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja pula ditempatkan di kemudahan perlindungan milik kerajaan di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:18 PM