Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Seramai 219,639 pelajar dan murid di 292 sekolah seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memulakan sesi persekolahan baru, hari ini.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab Wahab berkata, jumlah itu merangkumi seramai 20,585 murid tahun satu dan 19,257 pelajar tingkatan satu yang memulakan sesi persekolahan baru.

Menurutnya, seramai 16,586 guru pula bertugas di semua sekolah berkenaan.

"Minggu pertama ini kami semua mengeratkan dan menceriakan suasana sekolah, melaksanakan aktiviti keceriaan dan perpaduan yang semuanya berunsurkan pembelajaran dan motivasi supaya anak lebih semangat serta ceria hadir ke sekolah.

"Yang penting memberi satu kenangan indah pada anak, hari pertama yang memberi kesan baik dan memberi keterujaan (hadir ke sekolah) berterusan sepanjang tahun," katanya selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik aktiviti yang dilaksanakan oleh sekolah yang mana ia dapat memberi keceriaan dan menyuntik motivasi kepada murid termasuk perbincangan bersama ibu bapa.

"Terutamanya untuk tahun satu dan tingkatan satu, mereka (tahun satu) boleh tahu menguruskan diri (di sekolah) seperti ke kantin membeli makanan dan ke tandas.

"Aktiviti minggu pertama akan memberikan mereka pengalaman, pengetahuan dan kemahiran serta keceriaan berterusan sepanjang tahun," katanya.

IBU Bapa memerhatikan anak mereka ketika hadir ke sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IBU Bapa memerhatikan anak mereka ketika hadir ke sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 11:37 AM