Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

"SETAKAT ini, saya mempunyai lima pekerja harian. Empat wanita dan seorang lelaki. Masing-masing sudah pun melebihi 60 tahun," katanya ringkas ketika ditanya perihal kakitangan perusahaan wanita itu.

Tatkala menerima tugasan untuk membuat liputan mengenai atap senghora daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), penulis tidak dapat membayangkan mengenai perusahaan itu. Apatah lagi, namanya cukup asing.

Namun, sebaik melihat sendiri cara atap warisan itu dihasilkan membuatkan penulis terkesima kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi menyaksikan wajah-wajah yang boleh disapa nenek dan atuk sedang mengusahakannya.

Kain batik lusuh disingsing sedikit untuk sekumpulan wanita separuh abad itu menginjak tanah liat di dalam acuan kayu. Sementara itu, ada antaranya sedang memasukkan tanah liat dari sebuah 'kolah' ke dalam mesin bagi membentuk bata.

Pemilik perusahaan itu, Noraini Jusoh, 52, pula menyambut kehadiran penulis dan jurufoto, Shahril Badri Saali. Penulis menjangkakan sebenarnya wanita itu sedang sibuk tetapi masih sempat menyambut kumpulan kami dari Kuala Lumpur.

"Akak Ani (sapaan untuk Noraini), generasi kelima usahakan atap singhora ini. Kalau dulu masa budak-budak, ramai juga di kampung ini (Kampung Pengkalan Baru, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan) usahakan. Sekarang cuma tinggal akak sahaja," jelasnya ketika ditanya mengenai adakah terdapat rakan pengusaha lain di kampungnya?

SUSUNAN atap singhora yang unik seperti sisik ikan.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
SUSUNAN atap singhora yang unik seperti sisik ikan. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

PEKERJA Kak Ani menyusun atap singhora yang sudah dicetak.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
PEKERJA Kak Ani menyusun atap singhora yang sudah dicetak. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

Menerusi penjelasan itu, memberi jawapan mengapa Kraftangan Malaysia menginginkan media membuat liputan berkenaan perusahaan itu. Lebih tepat, perusahaan atap singhora sudah berada di ufuk senja. Jika tidak ada yang meneruskan, ia pasti hanya tinggal nama.

Kak Ani berkata, keistimewaan atap singhora ialah lebih sejuk berbanding menggunakan atap biasa kerana bahan asasnya adalah tanah liat.

"Kami menghasilkan secara tradisional dengan kualiti tersendiri melalui proses mengumpulkan tanah, mencetak sehingga dibakar selama 240 jam iaitu 10 hari pada suhu 800 darjah Celsius dan jangka masa yang sama juga diambil untuk menyejukkannya selepas proses pembakaran selesai.

"Bagi menjimatkan masa tanur yang digunakan berupaya membakar sehingga 40,000 kepingan atap singhora dalam satu masa," katanya yang bergiat aktif sejak 2016.

Mendengar penjelasan itu, ternyata untuk mendapatkan sekeping atap singhora bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi, memakan satu tempoh masa yang begitu lama.

Ketika menjengah bahagian 'dapur' membakar atap singhora, Kak Ani memaklumkan proses pembakaran juga perlu diberi perhatian kakitangannya bagi mengawal saiz api untuk memastikan ia dapat dibakar dengan sempurna.

TANAH liat di kolah dikumpulkan sebelum masuk ke dalam mesin.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
TANAH liat di kolah dikumpulkan sebelum masuk ke dalam mesin. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

Ketika ditanya mengenai kadar harga jualan bagi sekeping atap singhora, Kak Ani memaklumkan 90 sen sekeping!

Bercerita mengenai permintaan, wanita beranak lima itu berkata, atap singhora mempunyai peminat tersendiri dan laku 'keras' dalam pasaran. Apatah lagi, sejak dia menyertai inisiatif pemasaran atas talian di Facebook Group, E-Kraf Bazar yang diperkenalkan Kraftangan Malaysia.

"Setiap tiga bulan saya boleh memasarkan hampir 50,000 keping dan semuanya terjual terutama ketika menyertai E-Kraf Bazar yang banyak membantu mempromosikan produk warisan ini.

"Namun cabaran ialah tenaga kerja kerana pekerja di bengkel ini majoriti golongan 60 tahun ke atas. Jadi, mungkin kalau ada inovasi mesin untuk menghasilkan atap singhora tradisional dapat membantu daripada terus bergantung kepada tenaga manusia pada masa depan," katanya yang mencatatkan peningkatan 60 peratus sejak menggunakan platform atas talian itu.

TANAH liat diinjak di atas pencetak.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
TANAH liat diinjak di atas pencetak. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

SENI pembuatan yang rumit namun keistimewaannya tersendiri mendapat permintaan tinggi di pasaran.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
SENI pembuatan yang rumit namun keistimewaannya tersendiri mendapat permintaan tinggi di pasaran. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

GAZEBO yang menggunakan atap singhora.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
GAZEBO yang menggunakan atap singhora. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin

Ketika berada di luar bengkel perusahaan atap singhora milik Kak Ani, kelihatan tersusun cantik atap tradisional itu di atas bengkel berkenaan. Seakan-akan sisik ikan dan tidak memerlukan tampalan siling.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail berkata, atap singhora sememangnya menjadi warisan kraf tangan yang perlu dilestarikan dan mendapat permintaan tinggi terutama jualan dalam talian.

"Permintaan atap singhora ini sentiasa ada dan jika dahulunya digunakan untuk kediaman tetapi kini ia mula berkembang kepada seni bangunan wakaf, gazebo dan chalet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 7:01 AM
ATAP singhora kini diperluaskan penggunaannya kepada pelbagai seni bina.  FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin
ATAP singhora kini diperluaskan penggunaannya kepada pelbagai seni bina. FOTO: Shahril Badri Saali VIDEO: Hafiz Ithnin