Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Pekeliling baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengadakan kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 membantu melonjakkan semangat murid ke sekolah terutama tahun satu.

Penjawat awam, Mariam Baharuddin, 37, berkata, usaha itu sangat membantu emosi anaknya yang juga murid prasekolah untuk menyesuaikan diri di sekolah buat pertama kalinya.

Menurutnya, anak perempuan sulungnya gembira apabila tiba ke sekolah pagi ini terutama melihat maskot beruang dan panda yang menyapanya.

"Anak cakap suasana ini menyeronokkan dan pada saya ini juga dapat membantu anak berasa lebih selesa serta hilang takut untuk ke sekolah

"Saya percaya pekeliling menetapkan minggu pertama tidak membabitkan kelas akademik dapat memberi peluang kepada anak menyesuaikan diri dengan persekitaran baru," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tasik, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

Suri rumah, Noor Ashikin Zulkipley, 37, berkata, minggu pertama persekolahan adalah masa sesuai untuk murid baru mengenal institusi itu dalam memupuk minat ke sekolah.

"Usaha ini memang baik untuk murid dan tempoh seminggu itu memang sudah cukup untuk murid mengenal dengan lebih rapat guru dan kawasan persekitaran sekolah supaya tidak asing.

"Ketika belajar di tadika sebelum ini, prasekolah agak berbeza kerana pandemik Covid-19 dan kali ini apabila ada masa untuk berinteraksi serta mengenali sekolah itu akan membuatkan mereka tidak terkejut memasuki sekolah baru," katanya.

MURID disambut dengan maskot ketika hadir sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MURID disambut dengan maskot ketika hadir sesi persekolahan baru di SK Desa Tasik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Penyelia, Naqib Osman, 33, berkata, selepas lama bercuti sudah pasti kehadiran ke sekolah agak sukar tetapi dengan pekeliling baru berkenaan ia dapat membantu melonjakkan semangat kehadiran anak ke sekolah sekali gus memberikan keceriaan.

"Usaha ini memang wajar diperkenalkan untuk menaikkan semangat anak yang bercuti lama sebelum ini sekali gus meningkatkan kehadiran anak ke sekolah apabila merasai suasana gembira.

"Dengan pelbagai aktiviti untuk seminggu ini saya rasa cukup memberi keselesaan kepada murid terutama yang baru masuk sekolah tahun satu dan prasekolah," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:42 PM