Wartawan HM

SESI persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam akan bermula 24 Jun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pelajar yang bakal memasuki kelas itu ialah mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Beliau berkata, jasa baik ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan hanya anak-anak sihat dihantar ke sekolah.

"Anak-anak juga perlu mematuhi Garis Panduan yang disediakan semasa di sekolah. Warga sekolah juga mesti sentiasa mematuhi Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya dalam sidang media khas hari ini.


Beliau berkata, bagi pelajar lain, sesi persekolahan mereka akan dibuka secara berperingkat.

"KPM akan mengumumkan sebarang perkembangan berkaitan perkara ini dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru sudah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah," katanya.


Mohd Radzi berkata, KPM amat berharap agar pembukaan semula sekolah mulai 24 Jun ini berjalan lancar bagi membolehkan pelajar dapat meneruskan persekolahan dalam keadaan selamat.

"Apa yang penting kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan kerajaan. "Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah," katanya.

KAKITANGAN sekolah mengukur jarak antara meja mengikut prosedur operasi standard (SOP). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KAKITANGAN sekolah mengukur jarak antara meja mengikut prosedur operasi standard (SOP). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 4:16 PM