Suraya Roslan


Selayang: Bekas murid Tahun Dua sebuah sekolah rendah gagal dalam samannya terhadap tiga pihak termasuk guru Bahasa Melayu atas dakwaan memukulnya dengan menggunakan penyapu hingga menerima lima jahitan di kepala, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin hari ini menolak saman yang dikemukakan murid terbabit kini berusia 13 tahun yang diwakili bapanya, Mohd Amirul Azdi Md Yusuf, 41, selaku plaintif terhadap Raudzah Abdul Halim, 60, guru besar sekolah sama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Nor Rajiah membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi, eksibit dan hujahan bertulis plaintif serta semua defendan.

"Mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM5,000 kepada defendan pertama dan RM5,000 pada defendan kedua dan ketiga.

"Daripada keterangan saksi plaintif, murid itu berada di tempat kejadian dan ia tidak disokong oleh saksi lain yang berada di situ.

"Ia hanya disokong oleh keterangan saksi plaintif iaitu pegawai penyiasat dan bapa plaintif yang tidak berada di tempat kejadian. Plaintif gagal membuktikan kesnya pada imbangan keberangkalian," katanya.

Sementara itu, peguam plaintif, Azmer Md Saad ketika ditemui media berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan dalam perjalanan kembali ke tempat duduknya dalam kelas, sebelum secara tiba-tiba guru itu memukul kepala mangsa menggunakan penyapu dalam kejadian pada 18 Oktober 2019.

Plaintif mendakwa dirinya cedera dan mengalami pendarahan banyak menyebabkan defendan itu menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya menggunakan tisu basah bagi menghentikan pendarahan.

Berikutan kejadian berkenaan, mangsa dihantar ke klinik kesihatan sebelum ibu bapa plaintif dihubungi seorang guru yang memaklumkan mengenai kejadian berlaku.

Mangsa cedera pada kepala yang terpaksa dibalut bagi menutup luka dan menerima lima jahitan di klinik berkenaan.

Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian dan memohon penjelasan daripada guru terbabit.

Alasan yang diberi disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk dan permohonan maaf secara bertulis.

Sementara itu, Raudzah yang memfailkan penyataan pembelaan pada 20 Disember 2022 pula mendakwa tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.

Defendan itu berkata, kecederaan dialami plaintif akibat kenakalannya sendiri apabila terhantuk dan terkena bucu kayu tempat letak kapur papan hitam ketika bekas murid terbabit cuba meloloskan diri.

Mohd Amirul Azdi Md Yusuf, 41 (kanan), bapa kepada Plaintif, hadir bagi mendengar keputusan kes saman seorang pelajar terhadap guru, guru besar sebuah sekolah dan kerajaan berhubung kecederaan yang dialami anaknya setelah dipukul menggunakan penyapu kerana tidak duduk di tempat sendiri semasa sesi pembelajaran di Mahkamah Sesyen Sivil Selayang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Amirul Azdi Md Yusuf, 41 (kanan), bapa kepada Plaintif, hadir bagi mendengar keputusan kes saman seorang pelajar terhadap guru, guru besar sebuah sekolah dan kerajaan berhubung kecederaan yang dialami anaknya setelah dipukul menggunakan penyapu kerana tidak duduk di tempat sendiri semasa sesi pembelajaran di Mahkamah Sesyen Sivil Selayang. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 12:59 PM