AZAHARI bersama salah seorang mangsa banjir di Batu Pahat. FOTO Ihsan pembaca.
AZAHARI bersama salah seorang mangsa banjir di Batu Pahat. FOTO Ihsan pembaca.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pengalaman berdepan banjir teruk yang melanda negara pada Disember 2021 membuatkan 20 orang sukarelawan daripada Pertubuhan Kebajikan Al-Isyraq Nusantara bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ayusutra, Seksyen 24, Shah Alam bertandang ke Batu Pahat Johor untuk membantu.

Inisiatif itu lanjutan daripada beberapa siri bantuan yang diusahakan sebelum ini apatah lagi ada di antara mangsa berkenaan pernah menjadi jiran di KRT berkenaan beberapa tahun lalu.

Penyelaras Program, Azahari Shaari berkata, kumpulan sasaran mereka adalah kepada mangsa yang terperangkap dan memerlukan bantuan segera.

Katanya, berbekalkan pengalaman mengharungi suasana banjir di Shah Alam serta beberapa misi bantuan sebelum ini mendorong mereka mengambil inisiatif murni itu.

SUKARELAWAN bertanya khabar penduduk di kawasan terjejas. FOTO Ihsan pembaca.
SUKARELAWAN bertanya khabar penduduk di kawasan terjejas. FOTO Ihsan pembaca.

"Bila tengok keadaan banjir di Johor ini, mengingatkan kami yang turut pernah menjadi mangsa lebih setahun lalu.

"Perasaan sebak menyelubungi apabila ada penduduk di sini yang tidak dapat menahan sedih dan berpelukan dengan sukarelawan yang membantu.

"Ini adalah antara pengalaman berharga kepada kami dan insya-Allah, semangat membantu seperti ini akan diteruskan di lokasi yang lain pula selepas ini," katanya.

Azahari berkata, sebelum ini mereka memberikan bantuan dari segi kewangan dan barangan namun berbeza kali ini apabila sukarelawan membantu membersihkan kediaman yang terjejas.

Katanya, hari ini saja mereka berkesempatan membantu di sekitar Parit Karjo, Sri Pandan, Parit Bengkok, Parit Samijan dan Parit Sapran.

"Ada yang masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS). Jadi kami sumbangkan keperluan untuk mereka seperti peralatan untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 10:59 PM