Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: Prihatin dengan nasib mereka yang terjejas akibat banjir termasuk pengguna jalan raya di sekitar Bandar Permaisuri, di sini, menyebabkan pemilik sebuah kedai makan terpanggil bagi menyantuni mereka.

Kemurnian hati Nor Haziani Hasan, 50, atau mesra disapa Kak Nor bersama keluarganya menyediakan nasi bungkus untuk mengisi perut kepada mereka yang terjejas wajar diberi pujian.

Nor Haziani berkata, ia hanya sumbangan kecil berbanding apa dilakukan pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus melakukan misi menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Mereka (mangsa banjir) ditimpa bencana dan cuba bayangkan kalau kita yang berada di tempat mereka.

"Kak Nor memang selalu minta Allah gerak hati, kalau ada musibah seperti ini, biarlah Kak Nor tergolong dalam golongan yang turut sama membantu.

"Walaupun tidak dapat memberi sumbangan tenaga seperti pasukan penyelamat, Kak Nor harap apa yang dilakukan dapat meringankan sedikit beban mereka ternasuk pengguna jalan yang terjejas," katanya.

Katanya, dia membuka kedai makannya seperti biasa dan mengambil keputusan memberikan makanan secara percuma.

"Apabila buka kedai hari ini (semalam), saya tengok ramai yang tercari-cari makanan memandangkan tidak banyak kedai beroperasi akibat banjir. Saya rasa sedih mengenangkan nasib mereka dan lega dapat bantu mereka," katanya.

Sebelum ini, Nor Haziani bersama keluarganya pernah tular di media sosial apabila mengagihkan air minuman berperisa kepada pengguna jalan raya yang terkandas dalam kesesakan lalu lintas di Bandar Permaisuri pada Aidilfitri tahun ini.

Selain itu, dia juga pernah menyertai misi membantu mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan.

Nor Haziani sedang menyediakan bungkusan makanan untuk diberikan kepada mereka yang terjejas. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Nor Haziani sedang menyediakan bungkusan makanan untuk diberikan kepada mereka yang terjejas. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:21 PM