BARANGAN kes yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
BARANGAN kes yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan Polis
Roselan Ab Malek


Temerloh: Seorang lelaki dan rakan wanitanya ditahan selepas didapati menipu dengan memanipulasi kaedah bayaran secara digital kod pengimbas cepat (kod QR) membabitkan kerugian RM3,926.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 37 tahun dan wanita berusia 47 tahun itu didapati menipu dengan menggunakan resit kod QR ketika membuat pengesahan pembelian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu membuat pembelian di tiga premis berlainan di bandar ini secara imbasan kod QR, namun selepas semakan dibuat didapati tiada bayaran diterima oleh peniaga.

"Pasangan terbabit membuat pembelian alat ganti kenderaan di sebuah premis pada 20 April lalu membabitkan kerugian RM846. Pada 22 April berikutnya, pasangan itu menipu peniaga telefon bimbit membabitkan kerugian RM880.

"Pada hari sama, suspek turut memperdaya pengusaha kedai komputer membabitkan kerugian RM2,200 dengan modus operandi yang sama," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mazlan berkata, hasil risikan, polis berjaya menangkap pasangan itu di sebuah stesen minyak di Kajang, Selangor baru-baru ini, dan turut merampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) serta dua telefon bimbit.

"Semakan mendapati suspek lelaki ada lima rekod lampau. Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 30 April (esok).

"Polis masih mengesan dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 7:58 PM