SESI Penghargaan Secara Maya rai tujuh peserta dan empat Pakar Negara daripada Ipma.
SESI Penghargaan Secara Maya rai tujuh peserta dan empat Pakar Negara daripada Ipma.
Suliati Asri


Tujuh peserta dan empat Pakar Negara daripada Institusi Pendidikan Mara (Ipma) yang mendapat pencapaian cemerlang dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (Worldskills Competition) tahun 2021 dirai dalam satu Program Sesi Penghargaan Secara Maya di Ibu Pejabat Mara, baru-baru ini.

Mereka adalah Hood Haqqi Adzlan, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan yang merangkul pingat emas dalam bidang Pemprototaipan Pantas di Pertandingan Kemahiran Nasional ke-9 anjuran Worldskills Rusia.

Tiga lagi pelajar iaitu Muhammad Hafizuddin Norizan, Ammer Aiman Misron dan Nur Umairah Mohamad Suwandi pula memenangi pingat perak.

Muhammad Hafizuddin, pelajar KKTM Rembau meraih pingat dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Grafik dalam Pertandingan Kemahiran Antarabangsa Khabarovsk ke-3 di bawah naungan Worldskills.

Ammer Aiman dan Nur Umairah yang masing-masing adalah pelajar Institut Reka Bentuk Itali Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar memenangi pingat dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Industri dan Robotik Aerial yang dipertanding di Worldskills Asia (Online Friendly Skills Games 2021).

Manakala tiga lagi pelajar yang dirai ialah Muhammad Shahrul Fecrie Ismail daripada KKTM Kemaman dalam bidang Mechanical Engineering Design - CAD di Pertandingan Kemahiran Antarabangsa Khabarovsk ke-3 di bawah naungan Worldskills; Irfan Badzlin Abdul Hisham, UniKL - Malaysia Institute Of Information Technology (MIIT) dalam bidang Enterprise Information System Security di WorldSkills Asia (Online Friendly Skills Games 2021) dan Muhammad Ammar Mohd Haniz, UniKL - Malaysia France Institute (MFI) dalam bidang Mechanical Engineering Design - CAD di WorldSkills Asia (Online Friendly Skills Games 2021).

Empat Pakar Negara yang turut diraih ialah Mohd Asnawi Omar daripada KKTM Kuantan; Dr Norhisham Sejayah, UniKL-Malaysia Industrial Design Institute (Midi); Junita Mohd Said, UniKL-MFI dan Dr Ahmad Shahrafidz Khalid, UniKL-MIIT.

Pertandingan WorldSkills Competition (WSC) adalah pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia dalam mengiktiraf belia yang berkemahiran tinggi dan penyertaannya terbuka kepada semua negara yang menjadi ahli WorldSkills International.

Manakala Pertandingan WorldSkills Asia (WSA) pula ialah pertandingan kemahiran peringkat Asia di mana belia dari negara rantau Asia bertanding bagi mencari peserta terbaik dalam bidang masing-masing.

Pertandingan ini bertujuan untuk mempromosikan kecemerlangan dalam pembangunan kemahiran dan kompetensi dalam kalangan negara di Asia.

Program Sesi Penghargaan Secara Maya kepada tujuh peserta dan empat pakar Ipma yang menyertai WSC 2021 itu disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam ucapannya, Mahdzir berkata, kejayaan semua peserta itu membuktikan keberhasilan dasar kerajaan dalam memartabatkan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Oleh itu, katanya, di bawah strategi dan inisiatif yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030, tumpuan akan diberi ke arah memperkasa individu luar bandar yang terbabit dalam program latihan kemahiran serta kegiatan komuniti.

"Tumpuan juga terarah kepada usaha melahirkan lebih ramai belia luar bandar yang kompeten dan berdaya saing melalui program TVET," katanya.

Mahdzir juga menyarankan Ipma mewujudkan alumni dalam kalangan pelajar mereka yang sudah menyertai WSC bagi kesinambungan program selain menjadi platform mengumpul kepakaran dan bakat yang boleh diperluas demi kesejahteraan rakyat.

"Sudah beberapa tahun Ipma menyertai WSC ini dan disebabkan itu, saya cadangkan supaya satu alumni ditubuhkan antara pelajar yang menyertai pertandingan terbabit.

"Tujuannya adalah untuk kita lihat kemahiran mereka yang pelbagai yang kita boleh gunakan. Kita juga boleh membabitkan pakar bidang berkaitan dalam alumni berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:45 AM