Mohamed Farid Noh


Batu Pahat: Laluan keluar masuk beberapa kampung di Sri Gading, di sini yang ditenggelami banjir sejak seminggu lalu menyukarkan penduduk untuk mendapatkan bekalan makanan.

Tinjauan di Kampung Pasir Panjang dan Kampung Baru mendapati laluan ke kampung berkenaan tenggelam antara 0.4 hingga hampir 1.2 meter, malah ada penduduk dilihat terpaksa berjalan meredah air hampir dua kilometer (km) untuk keluar ke jalan utama

Beberapa kenderaan pacuan empat roda dan lori yang cuba meredah bah dilihat berpatah balik, berikutan keadaan air yang dalam hingga menenggelamkan kenderaan mereka.

Penduduk terjejas, Zainon Musa, 49 dari Kampung Pasir Panjang berkata, rumah penduduk masih belum dinaiki air tetapi kampung mereka sudah umpama di pulau kerana dikelilingi bah.

"Bah kali ini antara terburuk pernah berlaku sejak bah besar 2006. Banjir-banjir sebelum ini tidaklah seteruk ini.

"Kami sudah bersiap mengemas barang diletakkan di kawasan tinggi jika arahan berpindah dikeluarkan, namun saya dimaklumkan banyak PPS di sini yang sudah penuh.

"Saya dan suami terpaksa berjalan hampir dua kilometer meredah banjir bagi mendapatkan bekalan makanan yang hampir kehabisan berikutan kereta kami tidak boleh lepas.

"Kami juga terpaksa meminta bantuan saudara mara membelikan dahulu bekalan makanan sebelum mereka hantar ke sini, kerana kami tiada kenderaan untuk ke pekan," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, laluan utama Jalan Batu Pahat-Kluang berhampiran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengalami kesesakan luar biasa tengah hari tadi berikutan mula dinaiki air.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Pasir Panjang, Syafiq Mokhtar, 30, berkata, dia yang mempunyai pacuan empat roda, membantu penduduk dengan menawarkan perkhidmatan membeli barang keperluan dan makanan.

KEADAAN banjir di Kampung Baru, Sri Gading. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
KEADAAN banjir di Kampung Baru, Sri Gading. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

"Saya juga bantu penduduk yang hendak keluar atau masuk kampung kerana laluan yang dinaiki air hanya boleh dilalui oleh pacuan empat roda dan kenderaan berat.

"Jika banjir semakin buruk, saya bersedia untuk berpindah ke PPS apatah lagi terdapat sungai di hujung kampung iaitu di Kampung Simpang Kanan yang dijangka akan melimpah," katanya.

Pekerja kilang dari Kampung Parit Karjo, Haziq Bohari, 28, pula bimbang banjir buruk ketika fenomena air pasang besar yang diramal tidak lama lagi.

Katanya, meskipun cuaca cerah sejak dua hari lalu, air parit masih penuh dan berisiko melimpah.

"Keadaan masih sama dan itu yang membimbangkan. Kami risau banjir besar yang pernah berlaku pada 2006 berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 1:57 PM