Aizat Sharif


Kangar: Jenazah Safsufarnisya Salleh yang maut ditembak suaminya di rumah keluarga di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat semalam, selamat dikebumikan malam tadi.

Jenazah suri rumah yang hamil lima bulan itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, di sini.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke rumah selepas selesai bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 6 petang, sebelum disembahyangkan dengan diimamkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'ele Eizan yang juga bapa saudara Safsufarnisya.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada ibu bapa, ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan arwah menghadiri pengebumian itu.

Safsufarnisya, 26, meninggal dunia selepas ditembak suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal kira-kira 6 pagi semalam.

Suspek kini direman tujuh hari hingga 12 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BAPA arwah, Salleh Eizan menjirus air mawar di atas pusara anaknya, Safsufarnisya. FOTO Aizat Sharif.
BAPA arwah, Salleh Eizan menjirus air mawar di atas pusara anaknya, Safsufarnisya. FOTO Aizat Sharif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 12:02 AM