SAIFUDDIN Nasution (tengah) berbual bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ketika hadir pada persidangan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri. FOTO Mikail Ong
SAIFUDDIN Nasution (tengah) berbual bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ketika hadir pada persidangan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan beliau belum melihat surat daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung kelulusan usul tambahan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 bagi mengesahkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada Pemilihan Umno kali ini.

Beliau turut memberitahu baru pulang dari Manila, Filipina untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan belum berkomunikasi dengan sesiapa berhubung perkara itu.

"Saya tidak berkomunikasi dengan semua yang disebut. Saya 'outstation' di Manila baru datang sini, surat kerajaan ini rahsia besar, sulit... jadi untuk berlaku adil beri peluang saya tengok dulu surat.

"Kemudian barulah saya akan panggil KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) serta pegawai kerana apabila kita menjadi kerajaan perlu beradab tertib, tak kena kalau nak main (berhubung melalui) WhatsApp.

"Pihak yang ini kata ada surat bukan kenyataan daripada saya, takkan saya hendak spekulasi sana sini dan membuat kenyataan secara teraba-raba begitu," katanya ketika ditemui di DUN Pulau Pinang hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah menerima surat daripada KDN yang mengesahkan Pendaftar RoS menerima usul parti itu bahawa tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Beliau berkata, RoS sudah meluluskan usul pada PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 4:34 PM