M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: UMNO sedia mendedahkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang diterima bagi membuktikan badan itu menerima resolusi bahawa tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti itu.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendedahan surat itu kelak diharap dapat memberhentikan segala isu yang timbul berkaitannya dan mengesahkan tiada pemilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

"Semalam saya sudah nyatakan (bahawa RoS menerima usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO) di Pulau Pinang.

"Saya akan minta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerbitkan salinan diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berikutan surat yang dikeluarkan RoS kepada pihak peguam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir Majlis Pengenalan Calon-Calon, Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk EXCO Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di Bangunan Tunku.

Yang turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat daripada RoS yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ia berikutan terdapat dua laporan media berbeza mengenai usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan surat bakal mengukuhkan peranan PAU sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan bagi UMNO.

"(Surat) Itu adalah satu tanda noktah bahwa PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO, kita sudah ikut peraturan dan perlembagaan juga dipatuhi sepenuhnya dalam memberi kelulusan usul kelapan dalam pembentangan yang dibuat.

"Ini akan menjadi tanda penamat (kepada konflik yang berlaku), kita akan tutup buku isu mengenainya selepas ini," katanya.

Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada KDN yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 5:21 PM