KERETA suspek rosak selepas merempuh kereta polis dan kenderaan awam lain.
KERETA suspek rosak selepas merempuh kereta polis dan kenderaan awam lain.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Bukan hanya melawan ketika cuba diberkas, dua pengedar dadah turut bertindak agresif dengan melanggar kereta polis dan beberapa kenderaan awam, dalam cubaan mereka melarikan diri, semalam.

Kedua-duanya yang berusia 33 dan 37 tahun sebelum itu dikesan sepasukan enam pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di jalan utama bandar Melaka pada 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasukan menahan kereta suspek di hadapan sebuah hotel untuk pemeriksaan, namun mereka tidak memberi kerjasama.

"Berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota serbuan sebelum suspek menghidupkan semula enjin kereta itu dan bertindak agresif melanggar Proton Waja milik pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, suspek kemudian mengundurkan keretanya dan merempuh sebuah kereta orang awam sebelum memecut ke Jalan Bukit Cina serta melanggar beberapa lagi kenderaan awam lain.

Katanya, kedua-dua penganggur itu akhirnya berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam kereta menemukan beg mengandungi 12 peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu anggaran berat 51.43 gram (g) dan satu peket disyaki heroin seberat 30.69g.

"Turut dirampas satu balutan plastik berisi daun kering disyaki ganja, satu rod kaca dan wang tunai RM200.

"Hasil semakan, hasil semakan mendapati seorang daripada mereka memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, serta tiga kes jenayah di bawah Seksyen 379, 392 dan 324 Kanun Keseksaan.," katanya.

Menurutnya, soal siasat awal, suspek mengaku mengambil bekalan dadah itu pada 3 Februari lalu daripada lelaki di Batu Berendam dan mereka yang positif dadah direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dalam pada itu katanya, seorang pegawai terseliuh kaki dan cedera di lutut akibat pergelutan dengan suspek dan dua anggota luka di tangan, manakala kenderaan pasukan rosak di bahagian pintu pemandu dan belakang serta bumper.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:17 PM