CIK Mawar membuka gerai roti canai di Country Home Rawang, di sini, sejak dua minggu lalu. FOTO ihsan Nur Syazwani Mohd Rozie
CIK Mawar membuka gerai roti canai di Country Home Rawang, di sini, sejak dua minggu lalu. FOTO ihsan Nur Syazwani Mohd Rozie
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Berperwatakan menarik, sopan dan mempunyai kemahiran menebar roti canai nyata menjadi bonus kepada gadis kecil molek ini mencari rezeki dengan usaha sendiri di usia muda.

Nur Syazwani Mohd Rozie atau dikenali sebagai Cik Mawar berusia awal 20-an kini membuka gerai roti canai di tepi jalan di Country Home Rawang, di sini, sejak dua minggu lalu.

Videonya menebar roti canai mendapat perhatian di TikTok dan maklum balas positif orang ramai yang memuji kemahirannya.

Berkongsi kisahnya, Cik Mawar berkata, kemahiran itu dipelajari ketika berusia 13 tahun selepas simpati melihat ibunya terpaksa melakukan pelbagai kerja dapur termasuk menebar roti canai di gerai makan mereka kerana kekurangan pekerja.

Menurutnya, dia kemudian mengambil keputusan membantu ibunya pada sebelah petang selepas waktu persekolahan.

"Penebar roti canai yang kami ambil kerap berhenti kerja, jadi ibu terpaksa menebar roti canai sambil memasak lauk lain. Jadi saya mahu membantunya dan memerhatikan ibu menebar roti canai sebelum mencuba.

"Saya mula belajar menebar baju basah tetapi agak sukar kerana teksturnya tidak sama dengan doh sebenar. Selepas itu setiap kali mahu makan roti saya akan buat sendiri, lama kelamaan menguasai tekniknya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia kemudian mencuba nasib mengembangkan usahanya ke Rawang sebelum berpindah ke kawasan itu pada Januari dan kini membuka gerai sejak dua minggu lalu.

"Doh dan kuah juga saya buat sendiri mengikut resipi ibu yang kita sesuaikan mengikut citarasa. Setiap hari saya sediakan 10 kilogram adunan yang akan dapat 260 keping roti canai.

"Saya cuma buat roti canai kosong, bawang, telur, sardin dan bawang telur saja, malah semuanya untuk dibungkus saja dan tidak makan di gerai," katanya yang memberitahu kembarnya juga akan membantunya menebar roti canai tidak lama lagi.

Berhubung videonya yang mendapat perhatian di TikTok, Cik Mawar mengakui dia sememangnya kerap membuat penstriman langsung di aplikasi sosial itu sejak membantu ibunya di Johor.

Katanya, biarpun hanya menebar roti canai di tepi jalan tetapi bukan penghalang untuk dia sentiasa berpenampilan kemas dan menarik kerana baginya kekemasan dan kebersihan perlu diutamakan.

"Sejak mendapat perhatian di TikTok beberapa hari lalu, gerai kecil saya dikunjungi ramai. Gerai dibuka bermula jam 6 pagi hingga 11 pagi dan roti canai juga habis terjual dalam tempoh itu.

"Saya memang menjaga penampilan supaya kemas dan selalu juga memakai baju kurung kerana bagi saya apa-apa kerja memang perlu penampilan yang bersih dan kemas terutama saya yang berniaga makanan.

"Malah, saya juga tidak kisah atau malu menebar roti canai di tepi jalan asalkan hasilnya halal. Saya juga berterima kasih dengan semua komen positif warganet yang memberi sokongan," katanya yang turut menghasilkan roti canai sejuk beku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 3:45 PM