Aizat Sharif

Padang Besar: Baru berusia 11 tahun, namun gaya lincah kanak-kanak ini menebar roti canai sentiasa memukau pelanggan yang berkunjung ke restoran bapanya di Beseri di sini.

Di kedai yang menjual 100 jenis roti canai itu, Muhammad Alif Fattah Muhamad Ali menunjukkan kepakarannya menebar doh, termasuk bergandingan bersama bapanya, Muhamad Ali Nordin, 43.

Ketika mereka beraksi, biasanya Muhammad Alif yang mengenakan tanjak akan menyambut doh roti canai yang dilontar bapanya, sebelum menebar dan 'menerbangkan' ia ke udara.

Kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beseri itu, dia mula mempelajari teknik menebar roti canai ketika berusia sembilan tahun selepas melihat anak rakan bapanya melakukan demikian.

"Pada usia 10 tahun, terbit rasa ingin melakukan kelainan dalam menebar doh menggunakan skil roti canai terbang.

"Susah juga nak buat roti canai terbang dan saya ambil masa sebulan untuk belajar dengan melihat persembahan rakan ayah dalam komuniti penebar roti canai.

"Selain itu saya menonton YouTube untuk mengolah gaya unik dalam menebar roti canai terbang," katanya ketika ditemui di restoran bapanya, hari ini.

Muhammad Alif berkata, dia mempertontonkan kemahirannya di hadapan keluarga terlebih dahalu, sebelum beraksi di khalayak selepas benar-benar menguasainya.

"Pernah berlaku kejadian melucukan apabila doh roti canai yang saya tebar terjatuh di kepala sepupu saya," katanya yang memberitahu bapanya banyak memberi galakan dan membawanya ke pertunjukan tebar roti canai terbang di dalam dan luar Perlis.

Akui anak sulung daripada dua beradik itu, dia juga pernah memenangi naib johan dalam pertandingan tebar roti canai di SK Titi Tinggi, selain mampu menghasilkan 20 roti canai terbang, sehari.

Sementara itu, Muhamad Ali berkata, dia menggalakkan anaknya melakukan aktiviti digemari, namun tidak mahu ia mengganggu persekolahan Muhammad Alif.

Katanya, mereka sudah berniaga selama empat tahun dan beroperasi pada pagi dan malam, dengan Muhammad Alif hanya akan menebar roti selepas persekolahan berakhir.

"Pada hujung minggu atau cuti sekolah, dia akan menebar roti canai bersama saya, pagi dan petang. Saya utamakan persekolahannya dan mahu dia fokus, selesaikan kerja sekolahnya sebelum bantu saya di kedai," katanya.

Penebar roti canai cilik, Muhammad Alif Fattah Muhamad Ali menunjukkan kemahiran menebar roti canai terbang di gerai bapanya di Jalan Kangar-Padang Besar, Beseri di Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Penebar roti canai cilik, Muhammad Alif Fattah Muhamad Ali menunjukkan kemahiran menebar roti canai terbang di gerai bapanya di Jalan Kangar-Padang Besar, Beseri di Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 1:54 PM