RAZALI menunjukkan roti canai bersaiz dulang besar. -Foto HASSAN OMAR.
RAZALI menunjukkan roti canai bersaiz dulang besar. -Foto HASSAN OMAR.
Hassan Omar


ALOR GAJAH: Seorang peniaga di Kampung Cherana Putih, Simpang Ampat di sini, mencipta keunikan apabila menghasilkan roti canai bersaiz gergasi sebesar dulang yang menjadi pilihan pelanggan.

Razali Abdul Rahman, 53, yang memiliki kemahiran menghasil roti canai yang lembut dan garing mula menguli tepung, menebar dan menghasilkan roti canai sejak berusia 16 tahun.

Katanya, dia mula menjual roti canai dulang sejak 10 tahun lalu.

“Sejak kecil saya bekerja di kedai kopi dan menyimpan cita-cita membuka perniagaan sendiri sehingga dimurahkan rezeki dapat berbuat demikian pada 2009.

“Saya menghasilkan roti canai dulang bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi memenuhi permintaan pelanggan terutama mereka yang datang dalam jumlah ramai,” katanya di kedai kopinya di kampung berkenaan, semalam.

Bagi menghasilkan roti canai bersaiz dulang kecil, Razali mengadunkan dua doh dan tiga biji telur yang dijual pada harga RM4 sekeping.

Manakala tiga doh yang diadunkan dengan 10 biji telur mampu membentuk roti canai bersaiz dulang besar berharga RM10 sekeping.

Razali berkata, roti canai bersaiz dulang kecil sesuai dimakan oleh dua atau tiga pelanggan, manakala roti canai bersaiz dulang besar mampu memenuhi selera empat atau lima pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penduduk kampung dan kakitangan agensi kerajaan serta swasta dari bandar Alor Gajah atau Bandaraya Melaka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:10 AM