Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Masih berstatus budak sekolah, namun kemahirannya melakukan aksi menebar roti canai terbang mampu mengalahkan penebar dewasa makanan itu.

Bakat dimiliki Muhammad Muiz Ruzaini, 17, terbukti apabila dia dinobatkan johan Pertandingan Bakat Penebar Roti Canai diadakan di Menara Alor Setar, Kedah, tahun lalu, apabila mengalahkan penebar lebih tua dan berpengalaman.

Muhammad Muiz yang juga pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Kedah dalam Pengajian Kejuruteraan Awam berkata, dia memasang impian membuka kedai roti canai sendiri selepas tamat sekolah nanti.

"Pada awalnya, ayah yang juga mempunyai kedai roti canai di Pokok Sena, Kedah tidak menyokong minat saya kerana mahu lebih fokus kepada pelajaran.

"Namun, selepas saya membuktikan kesungguhan dan kemahiran dalam bidang ini, dia akhirnya lebih terbuka dengan impian saya.

"Malah, dia menyuruh saya berguru dengan penebar roti canai profesional, Afiq Bakar yang tinggal di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya, selepas perkongsian video melakukan aksi roti canai terbang dimuat naiknya di Instagram dan aplikasi Tik Tok tular, kedai bapanya, Ruzaini Darus, 54, terus mendapat perhatian dan dikunjungi ramai pelanggan.

Perkongsian video itu menceritakan pembabitan awal Muhammad Muiz dalam menebar roti canai dengan hanya menggunakan tuala dan baju untuk berlatih sehingga berjaya mempunyai kemahiran seperti penebar profesional.

"Saya tidak mempunyai banyak masa berlatih menebar roti canai memandangkan saya bersekolah dan tinggal di asrama.

"Disebabkan itu, hampir setiap hari saya berlatih memutar dan melambung tuala atau baju untuk mengasah kemahiran pergerakan tangan di dalam tandas asrama atau dalam bilik tidur.

"Hanya setiap dua minggu sekali saja, saya pulang ke rumah dan masa hujung minggu itulah saya manfaatkan sepenuhnya menebar menggunakan doh," katanya.

Berkongsi pengalamannya mempelajari kemahirannya melakukan aksi roti canai terbang, anak kelahiran Kedah itu berkata, ia jelas bukan mudah seperti dilihat.

Katanya, ada sesetengah penebar roti canai belajar hampir bertahun-tahun untuk melakukan aksi berkenaan dan dia boleh dikatakan cepat belajar kemahiran itu.

"Bagaimanapun, saya tidak berhenti menuntut ilmu dan setiap sebulan sekali akan pergi ke Pulau Pinang dengan menaiki pengangkutan awam dari Alor Setar untuk mempelajari kemahiran baru.

"Selepas mempelajarinya, saya akan praktikkan di kedai ayah supaya lebih mahir dan tidak lupa," katanya.

Muhammad Muiz berkata, dia memasang impian untuk mengetengahkan bakatnya bukan saja di kedai, tetapi membuat suatu pertunjukan roti canai terbang di khalayak ramai.

Terdahulu, perkongsian video Muhammad Muiz menebar roti canai dengan pelbagai aksi unik tular di media sosial dan meraih lebih sejuta tontonan setakat ini.

MUHAMMAD Muiz menunjukkan kemahirannya menebar roti canai termasuk roti canai terbang. FOTO ihsan Foto Ihsan Muhammad Muiz Ruzaini.
MUHAMMAD Muiz menunjukkan kemahirannya menebar roti canai termasuk roti canai terbang. FOTO ihsan Foto Ihsan Muhammad Muiz Ruzaini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:00 PM