Mohamed Farid Noh


Segamat: Kerajaan tidak akan mengisytiharkan darurat susulan situasi bencana banjir buruk yang dihadapi Johor ketika ini, berikutan ia dalam keadaan terkawal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengisytiharan darurat tidak perlu dilakukan berikutan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

"Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat sudah sedikit surut, walau beberapa tempat mengalami banjir temenung. Itu mengambil masa sedikit untuk surut.

"Namun tidak perlu darurat setakat ini, kerana keadaan cuaca semakin baik dan banjir agak berkurangan. Itu yang dimaklumkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina ( SJKC) Kampung Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu, Anwar diiringi Onn Hafiz meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.

Anwar pada Jumaat lalu, dilaporkan memperuntukkan bantuan khas sejumlah RM50 juta kepada Johor susulan banjir terburuk pernah dihadapi negeri itu.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu mengumumkan RM10 juta bantuan mangsa banjir di Johor disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bagi membeli barangan keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua peruntukan khas daripada kerajaan Persekutuan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir berikutan banyak barangan serta kediaman yang rosak.

"Kerajaan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan juga akan menghantar lori pengangkut sampah ke Johor segera bagi tujuan pembersihan.

"Kumpulan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga akan diselaraskan bagi membantu penduduk membersihkan rumah mereka selepas banjir surut untuk meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Perdana Menter turut memaklumkan beliau menghubungi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama untuk membantu mangsa banjir di Johor.

"Saya juga telah hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elektrik dengan kadar segera.

"Selain itu, Yayasan Sime Darby akan menyediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga selain menyalurkan dana tambahan RM20 juta untuk mangsa banjir di negeri ini," katanya.

Beliau turut memuji penyelarasan mangsa banjir di Johor yang disifatkan cukup baik.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan semua agensi yang terbabit membantu mangsa banjir.

"Setiap tempat yang saya tinjau, saya tanya tentang makanan,setakat ini mereka kata cukup," katanya.

ANWAR ketika sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS SJK (C) Kampung Tengah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANWAR ketika sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS SJK (C) Kampung Tengah. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 2:16 PM