Mohamed Farid Noh


Mersing: Tiada keperluan untuk mengisytihar darurat bencana akibat banjir yang melanda empat negeri ketika ini kerana keadaan masih terkawal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, buat masa ini banjir juga tidak membabitkan kawasan atau negeri dalam jumlah yang banyak.

"Saya tidak fikir pengisytiharan darurat bencana ini harus dilakukan kerana ia membabitkan negeri dan daerah tertentu sahaja.

"Jawatankuasa Bencana Negeri sudah ambil langkah proaktif bersama Jawatankuasa Bencana Daerah (JBD)bagi menangani banjir dengan segera.

"Bantuan diberikan adalah bantuan segera kepada ketua keluarga dan dalam waktu yang sama kita perlu tambah baik bantuan kepada mangsa banjir terutamanya selepas pasca banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Politeknik Mersing yang menempatkan 353 mangsa banjir di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat banjir Mersing yang disampaikan Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali yang juga Pengerusi JBD Mersing di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mersing.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, sejumlah RM10.5 juta diluluskan untuk bantuan segera bagi penyelesaian jangka pendek masalah banjir di Mersing.

Katanya, peruntukan itu untuk pembinaan tiga pam dan rumah pam yang bernilai RM3.5 juta setiap satu, antara keperluan mendesak untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

"Bagi rancangan jangka panjang, tebatan banjir di daerah Mersing, ia sebenarnya memerlukan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion untuk atasi banjir secara jangka panjang.

"Namun demikian Mersing memohon supaya peruntukan sekurang-kurangnya RM50 juta dapat disalurkan kepada kerajaan negeri dan pejabat daerah menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi peruntukan jangka sederhana supaya ia dapat disalurkan di kawasan yang rendah.

"Bagi tujuan tebatan banjir di kawasan bertanah rendah, saya akan ikhtiarkan menerusi perbincangan saya dengan Ketua Setiausaha Kementerian (Kemajuan Desa dan Wilayah) yang tentunya akan mendapat peruntukan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim" katanya.

 AHMAD Zahid ketika melawat mangsa banjir di PPS Politeknik Mersing, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
AHMAD Zahid ketika melawat mangsa banjir di PPS Politeknik Mersing, Johor, hari ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 6:48 PM