Ahmad Hasbi

Seremban: Perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) di pinggir bandar Seremban, di sini, dipercayai pada asalnya menempatkan pekerja buruh binaan warga asing yang terbabit dengan projek perumahan.

Bagaimanapun, kumpulan pekerja terbabit terus menetap di penempatan itu selepas projek perumahan siap dengan sebahagian besar daripadanya sudah tamat tempoh permit kerja.

Hasil perbualan dengan penghuni di situ, penempatan semakin berkembang apabila ada rakan atau keluarga senegara yang bekerja di tempat lain datang dan menetap di kawasan itu.

Tinjauan di lokasi turut mendapati mereka hidup seperti di kampung halaman dengan bercucuk tanam dan memelihara ternakan.

Tanaman seperti ubi, pisang, pandan dan betik dapat dilihat ditanam di belakang rumah yang rata-ratanya dibina menggunakan papan lapis.

Terdapat reban ayam dan itik yang dibina serta ternakan itu berkeliaran di kawasan penempatan seolah berada di kampung.

Bekalan elektrik pula diperolehi melalui generator dan penghuni memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya tiga generator di kawasan itu dengan sumber bahan api dibeli secara berkongsi.

"Bekalan air pula diperolehi dari bukit, kami menyambung paip ke kawasan ini bagi mendapatkan air untuk kegunaan mandi, masak dan sebagainya," kata seorang penghuni yang fasih berbahasa Melayu.

SEBAHAGIAN kediaman haram yang dibina oleh Pati di pinggir bandar Seremban. FOTO Azrul Edham
SEBAHAGIAN kediaman haram yang dibina oleh Pati di pinggir bandar Seremban. FOTO Azrul Edham

Tinjauan di lokasi juga mendapati ada penghuni yang memiliki kereta, malah kawasan itu lebih senang diakses berbanding penempatan haram Pati yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Nilai, baru-baru ini.

Terdapat juga kemudahan kedai runcit dan surau dan difahamkan majoriti penghuni adalah beragama Islam.

Sementara itu, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, penempatan berkenaan dibina di tanah seluas 0.4 hektar.

"Daripada maklumat yang kami terima, mereka tinggal di situ sebab ada yang bekerja di kawasan berhampiran, namun apabila projek selesai, mereka terus tinggal di situ.

"Sebelum ini ada antara mereka bekerja secara sah tetapi apabila permit tamat, mereka terus menetap dan kami tahan mereka atas kesalahan tinggal lebih masa," katanya.

Mengulas tempoh penempatan itu wujud, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan, namun berdasarkan pandangan peribadi ia dipercayai dibina dalam masa kurang lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 12:37 PM