LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Ahmad Hasbi


Nilai: Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) berhampiran Taman Bucida Hijauan, Persiaran Perdana, di sini, dipercayai sudah wujud lebih lima tahun lalu.

Menurut penduduk setempat, penempatan digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada awal pagi Rabu itu pada asalnya dijadikan tempat tinggal pekerja binaan warga negara jiran yang bekerja di beberapa projek di sekitar kawasan itu.

Rapiah Abd Razid, 50, yang sudah bekerja di kawasan itu sejak lima tahun berkata, ketika mula bertugas ketika itu, penempatan berkenaan hanya terdiri daripada beberapa rumah kongsi.

"Ketika itu ramai pekerja binaan warga asing yang terbabit dengan beberapa projek pembinaan kondominium dan taman perumahan baharu di sini. Mereka tinggal di sana (penempatan haram).

"Pada waktu itu ia kecil sahaja dan tiada kemudahan seperti yang dilaporkan media iaitu sekolah atau gereja. Selepas projek siap, mereka terus menetap di kawasan itu," katanya ketika ditemui di sini.

Tinjauan wartawan di kawasan berkenaan mendapati, masih terdapat beberapa individu yang sedang melepak di penempatan itu meskipun ia sudah diserbu pihak berkuasa.

Beberapa kereta seperti Toyota Hilux, Perodua Myvi, Proton Persona dan beberapa kenderaan lain kelihatan keluar dan masuk ke penempatan itu, malah mereka kelihatan berpakaian kemas, namun dipercayai warga negara jiran.

Hasil tinjauan juga mendapati terdapat satu lagi penempatan di kawasan berhampiran memandangkan terdapat laluan keluar masuk dari semak dan kelihatan beberapa individu keluar dari laluan itu untuk membeli barang keperluan.

Daripada gerak-geri dan percakapan mereka, dipercayai individu itu adalah warga negara jiran, namun wartawan tidak pasti sama ada lokasi penempatan kedua ini sudah diserbu pihak berkuasa atau sebaliknya.

Rapiah berkata, waktu berlalu, penghuni di penempatan itu semakin ramai dan mereka dipercayai beranak-pinak di situ menjadikannya seperti perkampungan dengan beberapa kemudahan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Fauzi berkata, ada sesetengah kaum wanita daripada penghuni penempatan itu bekerja sebagai pencuci di sebuah kondominium berdekatan.

"Secara kasarnya mereka ini sangat mesra dan baik. Namun, ada beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak senang penduduk setempat terhadap kewujudan penempatan haram itu.

"Mungkin kehadiran mereka dalam jumlah yang terlalu ramai menyebabkan penduduk rasa tidak selamat.

"Malah beberapa kali kami terserempak dengan lembu dipercayai haiwan ternakan dari perkampungan itu.

"Penduduk juga ada mengadu penghuni di penempatan itu mengadakan pesta dan mengeluarkan bunyi kuat. Mereka berkelakuan seperti berada di tempat asal mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JIM menyerbu penempatan berkenaan dalam satu operasi dan mendapati ia dilengkapi kemudahan sekolah bagi mengajar anak penghuninya mengikut sukatan pelajaran negara asal.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa menahan seramai 67 Pati berusia antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan.

Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu susulan menerima aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing di kawasan itu.

Dalam operasi berkenaan juga, pihak berkuasa turut menemui beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 12:59 PM