SEBAHAGIAN kediaman haram yang dibina oleh Pati. FOTO Azrul Edham
SEBAHAGIAN kediaman haram yang dibina oleh Pati. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi


Seremban: Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dekat Seremban 2, di sini, awal pagi semalam, didapati dibina atas tanah milik persendirian.

Perkara itu disahkan Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus yang memaklumkan hasil semakan mendapati tanah terbabit milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

"Tanah itu bukan milik kerajaan, tetapi tanah persendirian iaitu milik sebuah syarikat pemaju.

"Tapi kita tidak pasti sama ada pihak pemaju mengetahui kawasan itu kini sudah menjadi penempatan warga asing atau tidak dan siasatan lanjut masih dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah mereka tidak diceroboh dan dijadikan penempatan haram oleh mana-mana pihak.

Dalam masa sama beliau yakin pihak berkuasa sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi membasmi kewujudan penempatan haram Pati di negeri ini terutama di Seremban.

Media semalam melaporkan satu lagi penempatan haram pati di negeri ini diserbu pihak berkuasa dan 32 individu ditahan termasuk kanak-kanak.

Dalam operasi itu, seramai 47 warga asing diperiksa dan hasilnya 32 orang terdiri daripada 16 lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, pihaknya sedang mengenalpasti sama ada penempatan ini didirikan di atas tanah persendirian atau milik kerajaan yang diteroka secara haram.

Tinjauan wartawan di lokasi berkenaan kira-kira jam 11 pagi tadi mendapati struktur binaan di penempatan itu masih belum dirobohkan dan terdapat beberapa penghuni yang tidak ditahan berada di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 3:54 PM