Mohd Amin Jalil


Seremban: Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) yang diserbu Jabatan Imigresen berhampiran Nilai Spring, Nilai, dekat sini, Rabu lalu dibina di atas tanah milik persendirian.

Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, siasatan pihaknya mendapati tanah terbabit milik persendirian iaitu syarikat tempatan.

"Kumpulan Pati terbabit dipercayai menceroboh tanah milik syarikat berkenaan dan pihak syarikat mungkin tidak menyedari tanah mereka diceroboh kerana lokasinya di dalam hutan tebal.

"Kita tidak boleh buat apa-apa kerana tanah yang diceroboh bukan tanah milik kerajaan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali ketika dihubungi turut mengesahkan kawasan penempatan haram terbabit adalah milik syarikat persendirian.

Beliau berkata, kakitangan syarikat terbabit sudah mengambil tindakan merobohkan bangunan atau kediaman di penempatan haram terbabit, pagi ini.

"Disebabkan tanah itu milik persendirian dan bukan tanah kerajaan, kita tidak masuk (campur).

"Saya juga dimaklumkan pihak syarikat berkenaan sudah merobohkan bangunan atau kediaman di perkampungan haram itu pagi tadi," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, berkata pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap penemuan penempatan haram terbabit.

"Kami masih menjalankan siasatan dari semua aspek terhadap penempatan haram Pati itu berpandukan undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berita berkaitan:

Macam mana penempatan itu boleh wujud?

Penempatan haram warga asing wujud sudah lebih setahun

PATI bina penempatan haram lengkap sekolah di Nilai

KEDIAMAN di penempatan haram warga asing di Nilai selepas serbuan, 1 Februari lalu. FOTO ihsan Jabatan Imgresen
KEDIAMAN di penempatan haram warga asing di Nilai selepas serbuan, 1 Februari lalu. FOTO ihsan Jabatan Imgresen

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 1:33 PM