ZULFAKAR Wahib.
ZULFAKAR Wahib.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Setiausaha Koperasi New Straits Time Press (NSTP), Zulfakar Wahib, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis, Pahang, hari ini.

Allahyarham yang juga kakitangan Print Towers Sdn Bhd (PTSB) dan bertugas sebagai Juruteknik Kanan, disahkan meninggal dunia pada 10.20 pagi.

Jenazahnya kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Baru di sini, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan islam Jalan Ampang pada 4 petang.

Anaknya, Amir Zulfakar, 26, berkata beliau tidak menyangka pertemuan dengan bapanya Jumaat minggu lalu adalah yang terakhir mereka berbual sebelum bapanya berangkat ke Cameron Highlands untuk menghadiri mesyuarat khas bersama Ahli Lembaga Koperasi NSTP pada Sabtu minggu lalu.

"Saya dimaklumkan rakannya, pada hari pertama (11 Februari) berada di sana, keadaannya baik namun apabila masuk hari kedua (Ahad), bapa mula mengalami batuk tanpa henti.

"Bapa kemudian meminta bantuan rakan untuk dibawa ke klinik sebelum menerima rawatan pernafasan dan keadaan agak pulih selepas itu dan kembali menyertai mesyuarat.

"Namun keadaan itu tidak lama apabila bapa mulai batuk semula dan rakan bapa memutuskan untuk membawanya ke Hospital Cameron Highlands (Hospital Sultanah Hajah Kalsom) untuk rawatan," katanya kepada BH, hari ini.

Menurut Amir, doktor di situ memaklumkan bapa memerlukan rawatan pakar kerana hospital berkenaan kekurangan peralatan untuk merawat keadaannya dan terus dibawa dengan ambulans ke Hospital Kuala Lipis pada Ahad malam.

"Saya difahamkan bapa ditidurkan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lipis tetapi sebelum itu dia sempat menghantar pesanan WhatsApp kepada ibu memintanya bersama anak-anak ke Hospital Kuala Lipis selain mengucap dua kalimah syahadah.

"Kami semua bergegas ke sana dan selepas seminggu menerima rawatan di sana, keadaan kesihatannya semakin merosot hingga menyebabkan kegagalan buah pinggang dan paru-parunya berair.

"Sehinggalah pada jam 4.30 pagi tadi, doktor memberitahu ibu dan seorang adik saya yang menjaganya di hospital bahawa keadaan bapa tenat sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.20 pagi," katanya.

Zulfakar, 55, yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Akhbar Kebangsaan (NUNW) meninggalkan balu, Fauziah Mokhtar, 56, serta lima anak, Ameera, 31; Alia Jasmin, 28; Amir, 26; Azrin, 25, dan Aril Afwan, 14.

Amir berkata bapanya disifatkan sebagai seorang bapa yang suka berjenaka dan tidak pernah berkira dengan anak-anak selain seorang pekerja yang disenangi rakan setugas kerana sikapnya yang suka membantu dan suka berjenaka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 9:45 PM