ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa. FOTO ihsan bomba
Muhaamad Hafis Nawawi


REMAJA lelaki warga Indonesia berusia 14 tahun dikhuatiri lemas sementara rakannya berusia 12 tahun terselamat selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong, Kajang, hari ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.

Menurutnya, seorang pegawai dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mangsa berusia 12 tahun itu ditemui selamat dan operasi mencari seorang lagi mangsa, Rico Budi Saputra diteruskan sehingga jam 7.30 malam.

"Jarak pencarian merangkumi satu kilometer (km) menyusuri salur air dan terowong air dari lokasi terakhir mangsa yang selamat ditemui," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hafisham berkata, operasi ditangguhkan dan akan disambung 8 pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:40 PM