DUA beradik yang nyaris maut dalam kebakaran rumah mereka di Bandar Utama Batang Kali, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
DUA beradik yang nyaris maut dalam kebakaran rumah mereka di Bandar Utama Batang Kali, hari ini. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Dua beradik perempuan nyaris rentung apabila rumah mereka di Bandar Utama Batang Kali, di sini terbakar petang tadi.

Mereka yang berusia dua dan tiga tahun berjaya diselamatkan jiran yang menyedari kebakaran.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 3.02 petang.

Katanya, sepasukan 14 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Rawang dikerahkan ke lokasi.

"Berdasarkan laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat.

"Terdapat dua kanak-kanak perempuan yang berada di rumah tamu dan kebakaran disedari jiran sebelah rumah mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, kebakaran dipercayai bermula dari dapur dengan anggaran kemusnahan kira-kira 70 peratus.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 3.27 petang dan padam sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 9:07 PM