TIGA premis di Taman Batu 10 1/2 Jalan Gombak Kampung Sungai Chinchin, Gombak, musnah dalam kebakaran, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
TIGA premis di Taman Batu 10 1/2 Jalan Gombak Kampung Sungai Chinchin, Gombak, musnah dalam kebakaran, malam tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Tiga premis di Taman Batu 10 1/2 Jalan Gombak Kampung Sungai Chinchin, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.50 malam.

"Seramai 44 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, BBP Wangsa Maju, BBP Rawang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kepong, PBS Seri Serdang dan Gombak selain 25 anggota polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi itu.

"Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran itu membabitkan tiga premis iaitu dua kedai dan sebuah rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hafisham berkata, anggota bertugas dari BBP Wangsa Maju melakukan pemadaman di bahagian belakang menggunakan pam tangki jentera dari jentera PBS Gombak sebelum kebakaran berjaya dipadamkan lebih satu jam kemudian.

"Turut berada di lokasi adalah Ahli Majlis Kawasan Gombak, wakil Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ketua Kampung Sungai Chinchin," katanya.

Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

"Individu yang terbabit dalam kejadian itu kemudian diserahkan kepada Ahli Majlis dan mereka ditempatkan di dewan berhampiran untuk tindakan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 12:51 PM