TANGKAP layar video tular di media sosial memaparkan empat lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah berkenaan dan menaiki sebuah kereta.
TANGKAP layar video tular di media sosial memaparkan empat lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah berkenaan dan menaiki sebuah kereta.
Norzamira Che Noh


Klang: Lima sekeluarga berdepan detik menakutkan apabila rumah mereka di Taman Petaling dekat sini, diceroboh sekumpulan penjenayah bertopeng serta berparang, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari itu, seorang mangsa juga cedera akibat dipukul oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, rumah teres dua tingkat berkenaan dihuni empat wanita dan seorang lelaki berusia 38 hingga 70 tahun.

Katanya, empat suspek yang memakai topeng, sarung tangan serta bersenjatakan parang itu menaiki sebuah Proton Waja dan memasuki rumah menerusi pintu belakang.

"Selepas memasuki rumah berkenaan, suspek bertindak mengikat tangan dan menutup mulut empat sekeluarga sebelum membawa mereka ke dalam bilik manakala seorang lagi mangsa tidak diikat atas faktor usia.

"Suspek dipercayai turut menendang hidung, memukul dengan kayu dan mengetuk kepala seorang wanita berusia 45 tahun dengan parang.

"Mereka bertindak menyelongkar bilik dan mengambil wang tunai RM4,000, lima telefon bimbit dan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000 sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta yang sama," katanya dalam kenyataan.

Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa kenderaan yang digunakan oleh suspek dijumpai di sebuah lorong perumahan kawasan Taman Desawan, Klang.

Bagaimanapun katanya, ketika polis tiba di lokasi, suspek sudah melarikan diri dan hasil semakan terhadap nombor pendaftaran kereta itu mendapati ianya palsu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta menemui beberapa barang kes dan usaha mengesan kesemua suspek masih giat dilaksanakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan empat lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah berkenaan dan menaiki sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 12:13 PM