Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran pada 26 Jun lalu.

Tertuduh, Lee Wei Shen, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid dalam bahasa Mandarin.

Dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas remaja perempuan berusia 16 tahun dalam bilik sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran pada jam 3.40 pagi pada 26 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 September depan untuk serahan laporan kimia, bedah siasat, toksikologi dan forensik.

Media sebelum ini melaporkan pelajar perempuan tingkatan empat ditemui mati disyaki dibunuh kekasihnya selepas dikatakan berlaku perselisihan faham di rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.40 pagi berhubung penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

Hoong Fong dilaporkan berkata, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya pada jam 2 pagi sebelum berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di muka serta leher.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 12:21 PM