RAKAMAN pergaduhan yang tular. FOTO tular
RAKAMAN pergaduhan yang tular. FOTO tular
Norzamira Che Noh


Klang: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasat kes sekumpulan pemuda bersenjatakan kayu besbol memukul seorang lelaki di sebuah restoran di Taman Ehsan Jaya, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor menahan lapan lelaki dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.

Katanya, kesemua suspek berusia 14 hingga 21 tahun itu ditahan di Kapar dan Klang.

"Berdasarkan pengakuan awal, semua suspek mengaku terbabit dan siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perebutan teman wanita yang juga pelajar sekolah.

"Polis tidak menolak kemungkinan terdapat pengaruh dan unsur kongsi gelap kerana ada rakan mangsa serta suspek terdiri daripada lepasan sekolah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, rakaman mengenai kejadian yang berlaku jam 2.10 pagi itu tular di media sosial.

Hoong Fong berkata, semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah.

Katanya, kesemua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

"Ibu bapa dinasihatkan memantau pergerakan anak-anak terutamanya pada waktu lewat malam supaya tidak keluar rumah tanpa sebab dan wajib mengambil tahu pergaulan serta latar belakang rakan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 12:16 PM