GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) membuka Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 (DPT BLN1/2023) untuk semakan selama 30 hari bermula hari ini hingga 18 Mac depan.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daftar pemilih itu diperaku semalam dan diwartakan, hari ini dan semakan boleh dibuat melalui lima kaedah.

Beliau berkata, pemilih boleh membuat semakan dengan cara melayari portal SPR di https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di http://ppn.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak; atau talian hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di nombor 03-88927218.

"DPT BLN1/2023 ini mengandungi 39,604 nama warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Januari 2023 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu; 10,092 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

"SPR menasihati warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Januari 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemilih terbabit boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan jika mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023.

Katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membantah kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengajukan sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN1/2023 ini, dengan melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 12:42 PM