RAMKARPAL Singh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
RAMKARPAL Singh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan yang sudah dikemukakan sebelum ini berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, ia termasuk yang disyorkan Jawatankuasa Khas dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, sesi libat urus agensi kerajaan berkaitan serta pihak organisasi masyarakat sivil (CSO) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau turut menegaskan cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang sedang diteliti hendaklah mengambil kira kedudukan semua pihak terbabit demi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang-undang (rule of law) sentiasa diberi keutamaan.

"Ini penjelasan dalam mengambil konteks kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah ketika Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2023 yang menggesa kerajaan untuk mengambil langkah sewajarnya supaya 1,327 banduan berdepan hukuman mati dapat dikecualikan daripada hukuman mati selepas hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan dimansuhkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ramkarpal berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan cadangan dan input baharu daripada CSO atau NGO dan pihak berkepentingan mengenai isu berkenaan supaya proses pembaharuan undang-undang adalah telus dan holistik.

"Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan, jadi, pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan ini dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang," katanya.

Katanya, sebelum ini, sebanyak tujuh Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan akta untuk pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori sudah dibentangkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2022.

"Sebarang pindaan perlu dibentangkan semula ke sidang Parlimen yang akan datang.

"Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan yakin penyelesaian yang terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 orang banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak diambil kira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:54 PM