PERKONGSIAN tular di media sosial mengenai individu yang didakwa memberi ularnya makan anak kucing.
PERKONGSIAN tular di media sosial mengenai individu yang didakwa memberi ularnya makan anak kucing.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Tindakan individu berkongsi di media sosial mendakwa memberi ular peliharaannya makan anak kucing meraih perhatian warganet yang rata-ratanya berang.

Individu itu berkongsi mengambil anak kucing itu secara 'adoption' dan mendakwa teruja apabila dapat memberi ularnya menikmati 'hidangan' lebih lazat.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (PHM), Arie Dwi Andika berkata, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan susulan pengakuan individu berkenaan.

Menurutnya, ia bagi memastikan kesahihan seperti diceritakan lelaki itu di media sosial selain turut memastikan mempunyai lesen membela hidupan liar yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Saya melihat mungkin ada unsur penyakit jiwa dan suka melihat kucing itu sengsara.

"Mungkin juga ia adalah tindakan provokasi atau 'menyakat' yang mana pernah berlaku kejadian seperti itu pada 2013 apabila ada pemilik ular mendakwa memberi ularnya makan kucing.

"Tetapi selepas disiasat dia hanya menyakat dan haiwan peliharaannya itu dijaga dengan baik dan diberikan makanan (yang kononnya mengikut fitrah ular)," katanya.

Justeru beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya dan menyifatkan kes seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kucing bukan fitrah makanan ular. Fitrah haiwan liar ia memburu haiwan pada hematnya sesuai, dia bukan makan sebarang makan kecuali terdesak dan tiada pilihan makanan lain ketika memburu.

"Sepatutnya pencinta haiwan tidak kiralah buaya, lembu, ular, kucing atau anjing memahami apa yang boleh dan tidak boleh (dalam memelihara haiwan itu dan bertanggungjawab)," katanya.

Mengulas lanjut, Arie Dwi berkata, mereka yang mahu menyerahkan kucing disaran mengenakan bayaran tertentu supaya penerima itu mempunyai komitmen terhadap haiwan.

"Berdasarkan pengalaman, kita tidak boleh kawal selepas urusan pengangkatan (adoption) biarpun sudah melakukan pemeriksaan latar belakang atau temuduga terlebih dahulu.

"Cuma saya nasihatkan yang beri kucing itu boleh mengenakan bayaran supaya penerima ada komitmen.

"Sifat semula jadi manusia apabila dia membayar sesuatu dengan nilai yang besar, pada saya tidak mungkin diberi sebagai makanan untuk ular itu," katanya turut menyarankan pemilik ular menjaga haiwan itu dengan cara lebih berkuatliti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 10:28 PM