GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini atas dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibunya dalam kejadian pada Isnin lalu.

Tertuduh, S Sathesh Kumar, 25, dari Bahau mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap ibunya yang berusia lingkungan 50-an pada 5.30 pagi 6 Februari lalu di ruang dapur sebuah rumah di Taman Rasa Sayang di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarganya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 8 Mac hadapan sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas memukul ibunya yang sebelum itu menegur tertuduh yang membuat bising.

Berang kerana ditegur tertuduh menumbuk bahu, menarik rambut rambut dan menolak ibunya sehingga terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 3:41 PM